TCO: Memorandum bantahan diserah kepada SUHAKAM

Mohd Soud (empat kiri) menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi SUHAKAM, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus di Pejabat SUHAKAM
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Satu memorandum telah diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkenaan pengawasan melampau terhadap Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Setiausaha Politik MB Terengganu, Mohd Soud Said berkata, tindakan pengawasan itu dipercayai berunsur intimidasi politik dan penyalahgunaan kuasa yang serius serta menceroboh hak asasi manusia.

“Memorandum ini menyatakan bantahan terbuka dan kebimbangan yang mendalam terhadap tindakan pengawasan secara berlebihan dan tidak berasas yang dikenakan ke atas Menteri Besar Terengganu.

“Tindakan pengawasan ini yang difahamkan dilaksanakan melalui mekanisme ‘Travel Control Order’ secara senyap melanggar hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 9 (2) yang menjamin kebebasan bergerak,” katanya kepada media, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya menganggap ia sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu dalam kerajaan, dipercayai menggunakan jentera negara untuk menekan tokoh politik yang mempunyai pendirian berbeza.

“Tindakan seperti ini adalah berbahaya kepada amalan demokrasi dan mencipta iklim ketakutan serta tekanan ke atas mana-mana pemimpin yang memperjuangkan idealisme politik secara berprinsip.

“Kami merakamkan solidariti penuh terhadap Menteri Besar yang terus berkhidmat secara berani, profesional dan berintegriti untuk rakyat Terengganu dan Malaysia walaupun berdepan pelbagai bentuk tekanan yang tidak wajar.

“Insiden ini menzahirkan keperluan mendesak untuk reformasi menyeluruh terhadap institusi-institusi penguatkuasaan dan pengawasan di negara ini. Tiada mana-mana pihak seharusnya menggunakan instrumen kerajaan untuk tujuan politik atau intimidasi,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru pihak kerajaan, SUHAKAM dan seluruh rakyat yang prihatin agar memperkukuh sistem akauntabiliti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam semua tindakan agensi keselamatan.

“Malaysia hanya akan maju apabila prinsip keadilan, kebebasan dan integriti institusi dijadikan asas pentadbiran, bukan apabila kuasa digunakan untuk membungkamsuara yang sah dalam demokrasi.

“Kita tidak menuntut layanan istimewa, kita menuntut keadilan yang sewajarnya. Sudah tiba masanya untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa dan memperbetul arah tuju negara.

“Malaysia berhak mendapat sebuah pentadbiran yang adil, beretika dan berjiwa rakyat. Malaysia ‘deserves better’ dan rakyat tidak akan berhenti menuntutnya,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri pada 10 April lalu Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan telah dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.

Tindakan tersebut dipercayai berlaku sejak suku ketiga tahun lalu, menyebabkan beliau ‘ditahan’ setiap kali keluar-masuk sempadan.

Menurutnya, kawalan tersebut seolah-olah beliau seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau ‘persona non grata’ di tanah air sendiri. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!