Undi, umrah, haji: Antara maslahah awam dan peribadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penekanan disuarakan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengenai kepentingan penyertaan umat Islam dalam sistem pilihan raya berbanding ibadah haji dan umrah adalah bersandarkan kepada prinsip fiqh keutamaan dalam Islam.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, perkara tersebut jelas dan bukan satu kenyataan kontroversi, sebaliknya selari pandangan para ulama muktabar termasuk Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat.

“Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi pernah menegur individu yang menunaikan umrah sehingga mengenepikan keperluan berjihad dengan harta atas jalan ilmu dan sebagainya.

“Fokusnya bukan terhadap ibadah umrah dan haji atau apa jua ibadah khusus yang lain, tetapi terarah kepada menilai keutamaan-keutamaan yang ada dalam agama.

“Ada kaedah fiqh berbunyi; “Perbuatan mencakupi kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri.” Penyertaan dalam pilihan raya dan turun menunaikan kewajipan mengundi adalah bagi memenuhi kemaslahatan awam.

“la adalah soal tanggungjawab politik Islam untuk mengangkat seorang pemimpin yang akan membawa suara rakyat ke tengah selain mempertahankan agama di medan pentadbiran tertinggi di peringkat negeri,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Ahmad berkata, realiti yang sedang dihadapi negara hari ini menunjukkan bagaimana satu kesilapan kecil ketika mengundi mampu membawa kepada pelbagai ketempangan dalam dasar dan polisi kerajaan.

“Bukankah realiti yang sudah terbentang di depan mata kita apabila kesalahan dalam satu saat kita memangkah di atas kertas undi, kita sedang merana dengan satu demi satu ketempangan polisi kerajaan?

“Bagaimanakah semua ini tidak penting sedangkan ia adalah antara kewajipan yang utama dalam Islam?” soalnya.

Beliau turut mengkritik pihak lawan yang cuba memutar belit kenyataan Tuan Guru bagi meraih kepentingan politik, sedangkan mereka sendiri gagal mempertahankan pakatan yang dilihat tidak stabil antara Umno dan DAP.

“Pihak musuh hanya memberikan helah terhadap kenyataan Tuan Guru tersebut sedangkan mereka sendiri kehilangan hujah untuk mempertahankan pakatan songsang Umno dan DAP ketika ini.

“Seluruh pengundi DUN Ayer Kuning memahami tanggungjawab mengundi kali ini untuk memberikan signal kepada ketempangan dasar kerajaan negeri mahupun Persekutuan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!