Ikrar tangani isu penduduk tanpa mengira kaum

- Advertisement -

TAPAH: Calon PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek menzahirkan komitmen untuk mewakili seluruh penduduk di kawasan berkenaan sekiranya memenangi PRK tersebut.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihaknya akan membawa suara penduduk di DUN Ayer Kuning ke peringkat yang lebih tinggi agar ia didengari, diperhalusi dan diambil tindakan sewajarnya bagi kepentingan mereka.

“Saya bukan calon untuk orang Melayu sahaja, tetapi calon bagi orang India, orang Cina serta kaum lain. Segala toleransi yang terkandung dalam Islam akan diaplikasikan bagi meraikan kepelbagaian yang ada dalam Perikatan Nasional.

“Jika ditakdirkan Ayer Kuning dimenangi oleh PN, pelbagai isu dan permasalahan yang berlaku, sama ada jelas mahupun tersembunyi akan cuba kita selesaikan dengan segala kemampuan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian di Ceramah Mega Perikatan Nasional bersempena PRK DUN Ayer Kuning di pekarangan PASTI Asy-Syakirin, Kampung Tanjung Keramat, di sini, malam tadi.

Turut hadir Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad serta ramai pimpinan parti komponen Perikatan Nasional.

Justeru, beliau memohon orang ramai untuk bersama-sama mendoakan dan mengangkat martabat penduduk di DUN Ayer Kuning.

“Pelbagai isu-isu yang sedang melanda, telah melanda dan sedang cuba disembunyikan dan dibongkarkan, yang dipendam, yang diluahkan oleh rakyat kita.

“Saya memohon restu daripada anda semua untuk langkah-langkah saya di kemudian hari mendapat sokongan yang padu daripada seluruh warga, seluruh kepimpinan untuk kita bawa suara rakyat kita di tempat yang sesuai nanti, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!