Drama sampah yang berjaya memicu kebencian kepada kelompok agamawan

- Advertisement -

FILEM atau drama adalah mesin propaganda yang menyihir akal manusia di bawah sedar dan wahana paling efektif untuk diselitkan sesuatu aspirasi dan agenda tersembunyi. Besarnya pengaruh filem dan drama menyebabkan kelompok Zionis semenjak awal abad ke-20 berusaha menguasai ruang dan segmen ini. Hollywood dan ruang industri seninya dikuasai oleh kelompok Yahudi dan berterusan melakukan naratif gelap terhadap musuh-musuh mereka. Penyakit Hollywood berjangkit dengan pantas kepada lahan industri seni di Bollywood, meletakkan naratif gelap kepada Islam dan penganutnya. 

Puluhan filem Hollywood menjadikan watak antagonisnya adalah pengganas beragama Islam, seolah-olah Islam agama yang mengajar kebencian sesama insan. Antara filem ini ialah Sicario 2: Day Of The Soldado, sebuah produk sampah bertema anti keganasan.  

Hollywood tidak pernah bosan dalam mengaitkan Islam dengan keganasan dengan memberi wajah paling jelek kepada wajah-wajah berjanggut dan berjambang.

Bukan sahaja Hollywood, industri filem di Asia Barat juga membidankan naratif yang jelik ini sesuai dengan citra kebanyakan rejim Tanah Arab. Seorang pelakon watak komedi Mesir yang tersohor iaitu Adel Imam melakonkan watak seorang pengganas yang anti sosial dan mengalami kerancuan berfikir sehingga sanggup menumpahkan darah.

- Advertisement -

Adel membayar harga yang mahal dengan melakonkan watak ‘Irhabi’ di mana filem yang  diterbitkan dalam tahun 1994 ini telah direspon dengan negatif oleh umat Islam di Mesir kerana sosok seorang pengganas itu diwajahkan dengan berpakaian berserban dan berjubah serta anti sosial. Watak antagonis ini disolek dengan lebam hitam pada dahinya seperti seorang yang warak dan kaki solat malam.

Masyarakat Mesir yang terkenal agresif dan politikal telah mengadakan bantahan awam sehingga membenihkan kebencian pada pengarah, penerbit dan para pelakon filem tersebut. Implikasinya besar apabila ‘Irhabi’ gagal meraih sambutan di pawagam-pawagam, produksi filem mendapat ancaman golongan radikal, euforia ketakutan berada di pawagam menyebabkan pulangan kepada filem itu juga mengerikan!

Menarik apabila selepas kegagalan filem propaganda ini, penerbit dan pengarah serta rumah produksi  filem di Mesir lebih prihatin akan sebarang sentuhan pada ajaran Islam dan watak berpakaian agama. Mesir walaupun mempunyai ancaman sebenar daripada kelompok jihadis namun penggiat filem telah belajar sesuatu iaitu menghormati Islam dan penganutnya.

Mewajahkan Islam agama terrorist, agama yang mendukung keterbelakangan, dogmatik dan serangkai naratif yang buruk bukan sekadar berlaku di lahan Hollywood, Bollywood dan pelbagai negara, namun kini industri filem Malaysia juga terjebak  dalam naratif jelek menyudutkan Islam sebagai pemicu keganasan, maraknya ajaran sesat dalam masyarakat Islam serta pelbagai sisi gelap yang lain. 

Seminggu dua ini medsos menggelegak dengan pelbagai cuplikan video parodi berkaitan drama bidaah, dilambung sebagai drama  filem yang hebat kerana berjaya menembusi pasaran hiburan Indonesia yang sangat besar pencandunya. Drama 15 episod itu ditayangkan sepenuhnya di platform penstriman Viu sahaja. Ianya karya Erma Fatima dan diarahkan oleh Pali Yahya, dengan gandingan lakonan Faizal Husein, Fattah Amin, Riena Diana dan lain-lain. 

Drama ini membawa kisah ajaran sesat yang dibawa oleh Walid, lakonan Faizal Husein yang mendakwa dirinya adalah Imam Mahadi. Obsesi watak utama kepada seks dengan berjanggut dan berjubah sangat memualkan. Ilmuan Islam merasa bimbang dengan pemaparan watak antagonis dengan sisi gelap pengamal ajaran sesat dalam Islam. 

Di zaman edan ini, kelompok liberal pragmatisme semakin berani menhujat agamawan, memperlekeh agamawan serta implikasi berangkai akibat karya yang tidak cermat ini. 

Saya pasti drama ini tiada penasihat syariah untuk membetulkan drama ini kerana sebahagian tokoh-tokoh agama hanya menonton selepas terbitnya drama yang memicu kontroversi ini. 

Penulis melihat serangkaian cuplikan drama ini, ianya sangat memualkan dengan gambaran pelajar banat yang kegedikan walaupun menyarung purdah, watak lelaki berserban yang kehausan nafsu serakah malah diulang-ulang perkataan Rasulullah oleh pelakon utama dengan kerap. Ini bukan soal didaktik sosial malah akan menyebabkan masyarakat awam akan memandang sinis kepada jubah, serban, purdah dan apa sahaja yang ada kaitan dengan agama. 

Tanpa menafikan memang ada kelompok ajaran sesat dalam masyarakat Islam, malah yang berfikrah sesat ini kadang kala sebahagian besar tidak berjubah serban dan berpurdah. Berkot, berdasi bahkan dengan kualifikasi kertas yang hebat yang menyebarkan fahaman sesat pluralisme agama, Islam inklusif, sekularisme, liberal pragmatis dan pelbagai kerancuan fikir dalam beragama. Malangnya tiada pengarah agama lain yang ingin menonjolkan kesesatan agama mereka kerana banyak idea lain yang boleh digarap untuk sebuah filem yang hebat dan bermutu. 

Dalam drama-drama Melayu, watak-watak antagonis bertudung labuh, berjubah dan memintal serban semenjak dekad 80-an melatari drama dan filem Melayu. Filem dan juga drama seperti Fenomena, Jeneral Hambali, Guru Yahya dan puluhan yang lain adalah memualkan intelek yang cuba memalitkan imej buruk terhadap agama Islam dan umat Islam.

Maka saya mengajak rakyat Malaysia agar memboikot drama filem sampah seperti  ‘Bidaah’. Berikan pengajaran kepada penerbit, pengarah bahkan pelakon-pelakon yang berada dalam industri seni negara ini. Hargailah nikmat akidah kalian! Terlalu banyak korpus kehidupan masyarakat yang boleh diangkat ke layar filem dan drama tanpa meremehkan agama, jadilah orang yang berfikir!

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 19/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!