Perkahwinan rakyat Malaysia beragama Islam di India

- Advertisement -

SAYA telah meneliti dan mengambil maklum berkenaan isu yang tular berkaitan perkahwinan seorang rakyat Malaysia Muslim dengan seorang pemain hoki India baru-baru ini. Ulasan ringkas adalah maklum balas kepada beberapa persoalan dan kenyataan terkait peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menangani isu ini.

Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat. Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertieryang ada kemungkinan sahih atau tidak. Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya.

- Advertisement -

Di Malaysia, seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadah dan mendaftarkan keislaman tersebut di hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang Saudara Baru. Rekod pengislaman adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri berkenaan. Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor.

Dalam hal status agama seseorang, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam. Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.

Perkahwinan antara pasangan Muslim dengan Bukan-Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003. Pasangan yang bukan-Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut. Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Adapun perkahwinan silang agama tidak benarkan dalam perundangan Malaysia.

Nasihat saya, sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan. Ini berdasarkan satu kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

“Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

 Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التَّهَمِ اتُّهِمَ

“Barangsiapa yang menempuhi, Ialuan-laluan tohmahan, akan ditohmah.”

Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah. Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang Iain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam. Saya teringatkan kisah Abdullah bin Huzafah yang sanggup mencium kepala Raja Byzantium atas titah Baginda, hanya demi menyelamatkan akidah dan nyawa semua tahanan Muslim. Saidina Umar al-Khattab mengiktiraf dan menyanjung perlakuan Abdullah bin Huzafah tersebut.

Harapan saya adalah semoga kita dapat bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri. Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana. Tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama.

 Patik menjunjung titah nasihat Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam berita yang disebarkan. Duli Yang Maha Mulia Sultan juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam. Ini menzahirkan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan terhadap urusan agama rakyat jelata.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada pasangan tersebut semoga Allah S.W.T mengurniakan kepada mereka taufik dan hidayah, rezeki yang baik serta zuriat yang soleh dan solehah:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata kami melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

(al-Furqan: 74)

Sekian, terima kasih.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 21/12/2020

- Advertisement -