KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, musuh utama di negeri itu bukan sekadar dadah dan penjenayah, tetapi juga pencerobohan tanah haram.
Titah baginda, sebanyak 14,494.908 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
“Lebih malang, 5,997.09 hektar hutan simpanan kekal (HSK) juga telah diceroboh kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.
“Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lalu dan ia berlaku tanpa pengetahuan beta. Namun, bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan.
“Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini.
“Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran. Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah SWT yang maha adil, menentukan dan menjatuhkan hukumnya,” titahnya.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan supaya pemimpin politik tidak terpengaruh dengan kepentingan politik sempit hingga mengetepikan hukum dan perbuatan yang salah dimuliakan.
“Beta ingin menegaskan pentadbir tanah di semua peringkat, wajib menjadi benteng hadapan, bukan boneka yang diperalatkan. Jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang membabitkan kedaulatan undang-undang negeri.
“Jangan terpedaya dengan naratif, kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat. Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih.
“Untuk dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang atau siapa yang berani menekan atau yang paling banyak menghulur,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 18/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!