Bola: Merit, politik atau apa?

- Advertisement -

SETELAH tersebar berita pelantikan sebagai Pengurus baharu Terengganu FC 1 (TFC1), Haji Fadhil Wahab semalam, telah menandatangani kontrak bagi mengesahkan kesanggupan beliau memikul tugas yang dikatakan sangat mencabar itu. ‘Kerusi Panas’ kata orang. Dan semenjak beberapa minggu lalu, kedengaran suara-suara yang mengecam keras pelantikan beliau itu.

Melihat kepada situasi sebegini, saya percaya, jika Haji Fadhil berjaya membawa pulang Piala Malaysia sekalipun, kecaman itu tidak akan reda. Ini berpunca kepada kebencian. Dan saya percaya pembenci itu majoritinya adalah datang dari parti lawan. Maka tulisan saya ini saya tujukan kepada peminat bola sepak yang tidak melihat unsur kepartian. Dan tulisan ini bukannya bagi memperbetulkan pembenci. Biarkanlah mereka.

- Advertisement -

Satu soalan mudah kepada semua peminat bola sepak, adakah pengurusan bola sepak di Malaysia tidak dipengaruhi unsur-unsur politik dan juga istana? Kecuali anda sememangnya terlalu jahil mengenai bola sepak, anda akan menjawab ada. Dahulu, nama-nama seperti Dato’ Ahmad Basri Akil dari Kedah, Tan Sri Elyas Omar, KL, Dato’ Jamal Nasir, Pahang, Dato’ Taha Arifin, Sarawak, Dato’ Abu Bakar Daud, Terengganu, Dato’ Rastom Ahmad Maher, Tengku Ahmad Rithaudin, Kelantan

Raja Ahmad Zainuddin, Perak, Dato’ Sulaiman Mohd Noor, Johor, Dato’ Mohammad Hasan, Negeri Sembilan, Tan Sri Ibrahim Saad, Pulau Pinang, Dato’ Seri Shahidan Kassim, Perlis, Dato’ Mazlan Harun, Selangor dan ramai lagi. Senarai ini adalah ketika era 80-an dan 90-an. Dan sehingga kini, ahli politik masih menguasai pentas sukan bola sepak.

Kita kecilkan skop kepada Terengganu. Bermula dari tahun 1973, semenjak masuk ke perlawanan akhir, kemudian sekali lagi pada tahun 1982, sehinggalah ke final tahun 1998, Terengganu tidak pernah menjadi juara. Hanya pada tahun 2000, menjadi juara Piala FA dan 2001, barulah Piala Malaysia berjaya dibawa pulang. Siapa pengurus pasukan ketika itu? Dato’ Che Mat Jusoh, yang kemudiannya menjadi calon BN. Apa kelayakan dan merit beliau sebagai pengurus pasukan?

Kita anjakan lagi masa ke belakang, ketika zaman Allahyarham Dato’ Abu Bakar Daud. Beliau seorang Exco Kerajaan Terengganu, bekas pemain, malah berjaya menduduki kerusi Naib Presiden FAM ketika itu. Namun, tiada kejayaan yang membanggakan diperolehi beliau selain naib juara 1982, Juara Piala Emas Raja-raja 1987, johan divisyen dua Semi-Pro 1990 dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia pada 1992.

Hal yang sama juga terjadi kepada Dato’ Yahaya Hashim, seorang ahli politik. Tiada kejayaan besar iaitu secara khususnya menjuarai Piala Malaysia. Tahun 2000, pernah ADUN PAS, Azmi Lob Yusof mencuba nasib menjadi pengurus. Kemudiannya, tiada lagi ADUN PAS menjadi pengurus bagi pasukan Terengganu. Wan Ahmad Nizam, bekas calon Umno, juga pernah menjadi pengurus pasukan. Jadi apa kriteria mereka semua?

Yang kita dapat lihat ialah kebolehan mengurus pasukan, bukan kerana mereka itu bekas pemain. Malaysia masih mengamalkan pemisahan kuasa antara pengurus dan juga jurulatih. Kita bukan seperti pasukan luar negara. Kalau tidak salah saya, hanya seorang yang pernah menjadi jurulatih dan pengurus pasukan sekali gus. Beliau ialah Alan Vest, pengurus dan jurulatih Sarawak sekitar awal 90-an dahulu. Dan beliau juga bukan ahli politik.

Baiklah, kita sekarang berada pada zaman penswastaan pasukan TFC di mana kini sudah menjadi Sdn Bhd, lebih profesional. Tetapi dari manakah sumber kewangan pasukan diperolehi? Menurut CEO TFC, Ab Rasid Jusoh, sewaktu baru dilantik tahun lalu, antara perancangan yang akan dibuat ialah seperti menyewa gelanggang futsal, jualan jersi dan menyediakan kios bagi menambahkan pendapatan pasukan. Namun, adakah ia mencukupi? 

Kecuali JDT yang ditaja oleh penaja yang kaya raya, pasukan-pasukan lain, kelihatannya masih terpaksa meminta belas ehsan Kerajaan Negeri. Atau adakah sanggup untuk kita meminta Dato’ Seri Vida menjadi penaja? Nanti habis stadium dia warnakan dengan warna merah jambu. Itu belum lagi isu dia mahu masuk padang. Jadi tidak pelik jika mungkin persatuan merasakan Haji Fadhil perlu dijadikan sebagai penyambung hubungan dengan Kerajaan Negeri kerana negeri menghulurkan dana.

Harus diingat juga, melantik Haji Fadhil sebagai pengurus, bukanlah perkara jenayah atau salah guna kuasa. Ia diputuskan dalam mesyuarat persatuan yang ada di dalamnya AJK-AJK yang berlainan parti. Akhir sekali, bagilah tumpuan kepada hal yang lebih utama daripada berbalah berkenaan bola sebegini. Kita bukan Brazil atau Argentina yang anggap bola seperti agama. Tiada juga dalam manifesto PAS mengatakan untuk tidak akan sekali-kali melantik pengurus pasukan bola dari kalangan orang politik.

MOHD NASIR ABDULLAH
29 Disember 2021 – HARAKAHDAILY 29/12/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -