Tebing tinggi RTB timbulkan masalah kepada penduduk

- Advertisement -

JERAI: Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit mengharapkan pihak berkaitan melihat kembali pembinaan projek rancangan tebatan banjir (RTB) berhampiran Kampung Batu 18, Guar Chempedak yang dikatakan memberi masalah lain kepada penduduk di situ.

- Advertisement -

Jelas beliau, tebing tebatan itu agak tinggi dan terlalu hampir dengan kawasan kediaman penduduk yang membeli tanah lot di situ melibatkan belasan rumah.

“Masalahnya tebing tebatan itu tinggi dan betul-betul berhampiran tanah mereka. Keadaan itu menyebabkan mereka tiada jalan keluar,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily di sini semalam.

Kata Sabri, sebelum ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mengendalikan RTB di bawah pengurusan Kerajaan Persekutuan itu, telah memberi jaminan, projek tersebut tidak akan mengganggu atau melibatkan penempatan penduduk kampung.

Namun dalam jawapan lain, beliau kesal kerana menurut JPS, reka bentuk tebatan tersebut tidak mengambil kira sama ada melibatkan tanah milik penduduk kampung atau kediaman.

Walaupun katanya, perkara tersebut telahpun beliau bentangkan ketika sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini tetapi sehingga kini, belum ada tindakan yang dilakukan.

Terdahulu, beliau turun ke lapangan, meninjau situasi berkenaan serta bertemu beberapa wakil penduduk terlibat.

Selain itu, situasi sedemikian juga katanya akan menimbulkan risiko lain terutama apabila sungai diperlebar serta diperbesarkan, antaranya boleh mengakibatkan kerosakan, keretakan tanah dan lain-lain

“Di tempat lain, saya lihat tak ada masalah pun. Tebing tebatan jauh dari penempatan penduduk. Tapi kes ini agak bahaya dan perlu tindakan segera,” tambahnya.

Tebatan banjir berkenaan, merupakan jajaran yang bermula dari Pendang sehinggalah ke Kampung Batu 18, Guar Chempedak dan dibina untuk mengatasi masalah banjir sering melanda kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!