PH balas dendam, Umno tolong jayakan – Fadhli

Penggantungan enam bulan Razman dari Persidangan Dewan Negeri Perak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan keputusan menggantung Razman Zakaria selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Negeri Perak sebagai satu isyarat meresahkan.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keputusan itu membuktikan Dewan kini sedang diperalat sebagai medan balas dendam politik, dan bukan lagi ruang menegakkan kebenaran serta mempertahankan suara rakyat.

“Apa yang lebih mengecewakan, keputusan ini berlaku meskipun YB Razman Zakaria telah tampil memohon maaf secara terbuka dalam Dewan berhubung satu kekhilafan maklumat – satu tindakan yang sepatutnya dilihat sebagai bukti tanggungjawab dan keterbukaan beliau, bukan dijadikan asas hukuman,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pasir Mas itu mempersoalkan apakah ‘salah besar’ yang dilakukan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gunung Semanggol tersebut sehingga digantung daripada sidang.

Katanya, isu tersebut berpunca daripada ucapan Razman yang membangkitkan kebimbangan terhadap insiden kibaran bendera China dalam satu program di Teluk Intan, berdasarkan laporan polis yang sah dan bukan rekaan semata-mata.

“Rakaman video berdurasi lebih dua jam telah tular dan laporan polis dibuat oleh seorang aktivis masyarakat setempat. Namun malangnya, kesungguhan YB Razman meminta pihak berkuasa menyiasat hal ini dilihat sebagai satu kesalahan besar oleh kerajaan negeri.

“YB Razman tidak pernah mendakwa secara mutlak bahawa hanya rakyat Malaysia yang mengibarkan bendera asing itu.

“Sebaliknya, beliau bertanya dan menggesa siasatan dibuat – ‘…kalau nak maklumat, bagi kita untuk membuktikan bahawa yang mengibar itu adalah Cina Malaysia ataupun Cina daripada negeri China.’

“Ini bukan tuduhan liar, tetapi satu desakan bertanggungjawab,” tegas Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Beliau malah turut berkata, tindakan terhadap Razman memperlihatkan politik balas dendam yang bertopengkan etika.

“Apa yang lebih pelik, beliau juga dituduh mengaitkan dua ADN kerajaan dengan program berkenaan hanya kerana gambar mereka terpampang di sepanduk rasmi acara tersebut.

“Ironinya, gambar itu bukan direka oleh YB Razman – ia dipaparkan sendiri oleh penganjur, dan salah satu rakaman video program dimuat naik melalui akaun rasmi ADUN Pasir Berdamar sebelum ia dipadamkan.

“Kenapa dipadam jika tiada kaitan? Kenapa tiada saman terhadap penganjur yang kononnya salah guna gambar mereka? Bukankah soalan ini juga patut dijawab?

“Namun semua hujah ini diketepikan. Apa yang jelas, hukuman ini menjurus kepada percubaan menutup mulut seorang ADN pembangkang yang berani menyuarakan hal yang tidak disenangi kerajaan negeri,” katanya.

Dalam prosiding Jawatankuasa Khas itu katanya, pertuduhan pertama terhadap Razman telah digugurkan kerana disifatkan sebagai salah faham dan tidak memenuhi syarat sah pertuduhan.

Katanya, bagi pertuduhan kedua pula, Razman mengakui kekhilafan maklumat dan secara terbuka memohon maaf kepada Jawatankuasa – dan permohonan itu telah diterima serta diberi amaran sahaja.

“Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana permohonan maaf yang diterima, dan keikhlasan yang ditunjukkan, akhirnya langsung tidak diambil kira apabila keputusan dibuat untuk menggantung beliau bagi pertuduhan ketiga iaitu mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan ‘sakit hati’,” katanya.

Ahmad Fadhli turut menyelar Umno yang menurutnya bersekongkol menjayakan keputusan penggantungan itu.

“Lebih memeritkan, keputusan menggantung YB Gunung Semanggol ini tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama wakil-wakil Umno dalam kerajaan campuran Perak. Inilah bukti bahawa dalam kerakusan mempertahankan kuasa, prinsip ditolak ke tepi.

“Umno yang suatu ketika dahulu melaungkan slogan ‘Agama, Bangsa dan Negara’ kini sanggup bersekongkol menekan suara yang membela isu kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata, itu adalah bukti bahawa Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya kini menjadikan Dewan sebagai tempat membungkam kebenaran, bukan meraikan demokrasi.

“YB Gunung Semanggol bukan dihukum kerana berbohong, tetapi kerana beliau membangkitkan perkara yang tidak disenangi kuasa politik hari ini.

“Beliau telah tampil menjelaskan, malah memohon maaf dalam hal yang berkaitan – namun itu tidak mencukupi bagi kerajaan yang sedang dipacu dendam.

“Hari ini, bukan sahaja YB Razman yang dihukum. Yang dihukum adalah prinsip kebenaran, hak untuk bersuara, dan integriti Dewan itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!