Pembangunan guna wang kerajaan, bukan parti politik

PRK N.48 DUN Ayer Kuning

- Advertisement -

TAPAH: Tidak timbul isu kononnya tiada pembangunan akan dilakukan sekiranya calon PERIKATAN NASIONAL (PN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April depan.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, ia kerana tiada pembangunan juga yang dapat dilakukan oleh calon Barisan Nasional (BN) sekiranya beliau menang pada PRK berkenaan.

“Kalau dia menang sekalipun, yang dia nak buat pembangunan ini bukan duit dia, bukan duit daripada Umno, bukan duit daripada DAP, bukan daripada PKR, bukan daripada PAN.

“Mana ada wakil rakyat buat jalan guna duit dia sendiri. Mana ada parti yang buat jalan raya guna duit parti dia sendiri. Cuba tunjuk dekat saya. Kami di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, pembangunan yang kami buat bukan guna duit parti, itu wang kerajaan.

“Wang kerajaan ambil daripada mana? Daripada cukai kita (rakyat),” katanya ketika berucap di Ceramah Kelompok Unit Daerah Mengundi (UDM) Tanjung Keramat, di sini lewat malam tadi.

Pimpinan negeri Pahang turut bersama dalam ceramah itu antaranya Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Hassanuddin Salim dan ADUN Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan dan ADUN Lanchang, Hassan Omar.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Serai itu, calon PN dalam PRK berkenaan, Ustaz Abdul Muhaimin Malek mampu menjadi perantara di antara rakyat dan jabatan kerajaan.

“Sebab itu kita mengharapkan kepada anda semua, gunakanlah kebijaksanaan kita untuk menjadi pengundi yang bijak, insya-Allah. Tuan-tuan tidak akan menyesal untuk memilih Ustaz Muhaimin sebagai wakil anda semua dalam PRK yang akan berlangsung nanti,” katanya.

Jentera BN yang turut didukung komponen Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mengulangi perbuatan memperalatkan premis dan jentera kerajaan termasuk menabur ‘gula-gula’ dan rasuah politik bagi menarik sokongan undi di PRK DUN Ayer Kuning.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dua hari sebelum penamaan calon pada Sabtu lalu telah mengumumkan 33 projek dengan peruntukan RM6.13 juta bagi pembangunan di Tapah termasuk Ayer Kuning. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!