GAMIS kecam DAP, UMANY isu pekebun haram di Raub

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Kerajaan Negeri Pahang menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian yang diusahakan secara haram di tanah milik kerajaan negeri.

- Advertisement -

Presiden GAMIS, Mohammad Azamuddin Sahar, berkata keamanan negara hanya dapat ditegakkan melalui pematuhan kepada undang-undang yang menjadi tunjang kestabilan dan kesejahteraan masyarakat.

“Mereka yang melanggar undang-undang dan menghasut rakyat melanggar undang-undang wajar diheret ke muka pengadilan dan dihukum!

“GAMIS menyokong ketegasan Kerajaan Negeri Pahang menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian Musang King yang diusahakan secara haram di tanah kerajaan negeri.

“Tindakan ini sah dari segi undang-undang dan tidak melanggar perintah mahkamah seperti yang didakwa pihak tertentu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Dalam masa sama, GAMIS turut kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen DAP yang mengajak rakyat melanggar undang-undang dan menyifatkan bahawa tindakan itu sangat biadab, menderhakai titah Sultan dan mengganggu tugas penjawat awam.

“Sepatutnya pemimpin bertanggungjawab haruslah menunjukkan tingkah laku yang benar dan tidak tersasar daripada undang-undang negara.

“Tidak ketinggalan juga, Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY) yang tidak malu dan tidak ada adab mengatakan Kerajaan Negeri Pahang membuli pekebun durian Musang King haram,” katanya.

Justeru, GAMIS menuntut pihak berkuasa dan kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Ahli Parlimen Raub yang telah mengganggu dan menghasut rakyat untuk melanggar undang-undang.

“UMANY dan DAP boleh dikategorikan sebagai parasit dalam negara yang perlahan-lahan membunuh kedaulatan undang-undang dalam negara Malaysia,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang ditahan polis bagi membantu siasatan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub minggu lepas.

Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.

Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lalu.

Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!