Bukit Besi: Potensi destinasi warisan, eko-pelancongan

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kawasan Bukit Besi yang pernah menjadi pusat perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara antara tahun 1920 hingga 1970-an, kini disaran dimajukan sebagai destinasi pelancongan warisan dan alam semula jadi.

- Advertisement -

Ghazali Sulaiman (PAS-Bukit Besi) berkata, lokasi bersejarah seperti laluan rel lama, terowong tinggalan lombong dan kawasan perkampungan bekas pekerja lombong boleh dijadikan produk pelancongan pendidikan dan sejarah.

“Bersama itu, potensi hutan Jerangau, Air Terjun Chemerong, dan kawasan-kawasan rekreasi dalam DUN Bukit Besi seperti Lubuk Kain, Kampung Shukor, Sungai Kelemin, Kampung Talong, Sungai Loh.

“(Juga) Bumbung Raja, Pasir Raja, Tasik Puteri, Bukit Besi dan beberapa lagi kawasan rekreasi yang lain boleh dimanfaatkan secara lestari sebagai destinasi eko-pelancongan keluarga dan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Jelasnya, pelaburan dan kemudahan asas serta promosi pelancongan lestari perlu ditingkatkan agar memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan sekali gus membuka ruang serta peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda.

“Peninggalan perlombongan perlu diurus dengan bijak, bukan sahaja sebagai tapak warisan, tetapi juga sebagai tapak sumber baharu seperti Rare Earth Elements (REE).

“Kajian menyeluruh dan penglibatan komuniti setempat amat penting agar hasil bumi ini memberi manfaat kepada penduduk, bukan menjejaskan alam sekitar yang seharusnya dijaga dipelihara dengan baik.

“Saya menyambut baik cadangan pembinaan yang melibatkan tenaga solar dan hidro di Hulu Dungun yang diketahui umum berada jauh dari bandar. Ia bukan sahaja menjimatkan kos malah menyokong usaha kelestarian alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!