PH terus komited bakul sampahkan janji reformasi

- Advertisement -

PEMUDA PAS Malaysia mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, yang mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di Parlimen Tapah sebelum tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Tindakan ini jelas satu bentuk pengkhianatan terhadap janji reformasi yang selama ini kononnya menjadi nadi perjuangan Pakatan Harapan (PH) serta mencabul semangat demokrasi dan prinsip keadilan pilihan raya.

Bukankah dalam manifesto PH dalam PRU15 untuk menjamin pilihan raya dilaksanakan secara adil dan saksama? Apakah gula-gula politik yang ditabur Menteri KPKT ini manifestasi keadilan dan kesaksamaan?

Perlu diingat, ini bukan kali pertama YB Nga Kor Ming bermain dengan taktik ‘gula-gula pilihan raya’. Dalam PRK Sungai Bakap, beliau mengumumkan hampir RM18 juta bagi 10 projek pembangunan di Seberang Perai. Malah, dalam PRK Kuala Kubu Bharu pula, beliau mengumumkan RM5.21 juta kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor, hanya seminggu sebelum tempoh kempen bermula.

Kami ingin tegaskan bahawa budaya menggunakan dana awam untuk meraih sokongan politik ini merupakan satu bentuk salah guna kuasa yang harus ditolak oleh semua rakyat Malaysia. PH dan sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) kelihatan semakin tenggelam dalam budaya politik lama yang mereka sendiri pernah kutuk suatu ketika dahulu.

Memberi alasan bahawa pengumuman peruntukan dibuat sebelum hari penamaan calon tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menghalalkan tindakan tersebut, sedangkan tarikh PRK Ayer Kuning ini telah pun diumumkan lebih awal.

Pemuda PAS Malaysia memberi peringatan kepada kerajaan agar menghentikan segera taktik lapuk ini. Jika PH dan BN terus berdegil menggunakan jentera serta dana kerajaan untuk berkempen, maka bersedialah untuk melihat rakyat bangkit menghumban calon mereka dalam PRK kali ini.

Rakyat tidak mudah dipermainkan. Rakyat bijak menilai.

MOHAMED SUKRI OMAR
Pengarah Pilihan Raya
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 14/4/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!