KOTA BHARU: Fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) perlu diberi perhatian serius oleh seluruh umat Islam dan pemerintah di peringkat global.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata, ‘Jihad Palestin’ menjadi satu tanda kebersamaan terhadap perjuangan rakyat terus dibunuh oleh rejim zionis.
Menurut beliau, negara Palestin bukan dimiliki oleh rakyatnya sahaja, bahkan ia menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk membela dan menjaga dari terus dicerobohi oleh Israel.
“Tanah air Palestin adalah tanah air seluruh umat Islam, bukan milik rakyatnya sahaja, apabila diceroboh, maka jihad mempertahankannya wajib mengikut kemampuan masing-masing.
“Pemimpin negara umat Islam khas yang berdekatan Palestin adalah lebih wajib mempertahankan dengan jihad senjata,” katanya dalam satu hantaran laman sosial, Facebook di sini hari ini.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu menyampaikan usrah mengenai pengisian Jihad Palestin Mahabbah Hari Raya anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan, di sini malam tadi.
Beliau berkata, fatwa jihad Palestin bukan satu perkara yang baharu, malah pernah difatwakan pada tahun 1974 oleh Kesatuan Ulamak Sedunia bagi mempertahankan bumi Masjid al Aqsa.
Menurutnya, keputusan tersebut tidak boleh disamakan dengan jihad di negara lain, kerana Palestin mempunyai pertalian akidah selain dalil yang diterapkan dalam al Quran dan Hadis.
“Fatwa jihad ini bukan perkara baru tetapi sejak dahulu lagi, bahkan tahun 1947 setelah dijarah, ulama sedunia sudah mengeluarkan fatwa jihad hatta dengan senjata demi pertahan bumi al-Aqsa.
“Ikatan akidah dan ada nasnya melalui al Quran dan Hadis, segala kekhilafan berkaitan istilah jihad dan kaedah berjihad tidak boleh menenggelamkan kewajipan jihad pembebasannya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia mengariskan fatwa mengenai Jihad Palestin berhubungan situasi tegang berlaku di wilayah Tebing Barat.
Ia menuntut sokongan seluruh umat Islam merentasi perbezaan fahaman dan mazhab yang melibatkan peranan pemimpin kerajaan, ulama dan juga masyarakat bagi membantu rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 9/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!