Kritikan dan hujah: Pedoman al Quran

- Advertisement -

SOPHISME dan kritikan

(1)     Di zaman Socrates munculnya golongan Sophisme yang banyak bermain kata-kata. Tiada hujah, cuma timbulkan keraguan demi keraguan, untuk menatijahkan satu keraguan.

Mereka tidak mengemukakan hujah, melainkan falasi-falasi. Dalam artikel ini saya cuba kurangkan perbicangan detail tentang kepeningan falsafah.

(2)     Cumanya saya ingin ceritakan bahawa era Yunani tersebut menyaksikan pertembungan dengan Sophisme. Sebahagian tokoh falsafah berpendapat Sophisme bukanlah sekolah pemikiran (school of thought).

Akan tetapi, saya melihat Sophisme adalah  ‘penyakit’ otak. Lari daripada medan hujah yang sebenar, dan melontarkan falasi-falasi yang diangkat semartabat dengan hujah.

(3)     Mereka yang tertipu dengan kaedah Sophisme akan hanyut dalam dunia percakaran ‘sesuatu yang atas angin’. Banyak juga perbincangan bab khilafiah masyarakat hari ini hakikatnya bermanhaj Sophisme.

Walaupun masing-masing menulis tajuk ‘menjawab kritikan’ kononnya, hakikatnya ada yang terikut dengan rentak Sophisme. Sebab itulah di dalam Islam, disusun manhaj kritikan (النقد)

Bahkan pengajian khas tentang النقد ini diwujudkan menjadi sebuah silibus. Tujuannya supaya memastikan Umat Islam mengkritik secara teratur dan bermanhaj, bukan semberono.

Bahkan beberapa kisah di dalam al-Quran sendiri menceritakan bagaimana manhaj Sophisme ini digunakan oleh golongan-golongan terdahulu.

Pendekatan para Nabi

(1)     Contohnya apabila ditanya sebab kenapa Iblis enggan ikut arahan Allah S.W.T. Tiada hujah yang konkrit, hanya sekadar memberi alasan dirinya dicipta dari api, manakala Nabi Adam A.S dicipta dari tanah:

- Advertisement -



قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسۡجُدَ إِذۡ أَمَرۡتُكَۖ قَالَ أَنَا۠ خَیۡرࣱ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِی مِن نَّارࣲ وَخَلَقۡتَهُۥ مِن طِینࣲ

“Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.””

(al-A’raf: 12)



(2)     Bahkan, dalam banyak dialog, seakan-akan hujahan para Nabi terhadap kaumnya hampir ‘sealiran’. Ia boleh disimpulkan kepada;

a-     Memperkenalkan prinsip, iaitu menyembah Allah dan menjauhi taghut;



وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِی كُلِّ أُمَّةࣲ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَیۡهِ ٱلضَّلَـٰلَةُۚ فَسِیرُوا۟ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُوا۟ كَیۡفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِینَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. Maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.”

(An-Nahl: 36)



b-     Mengkritik Dogmatism, taqlid buta terhadap golongan terdahulu:



وَإِذَا قِیلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلۡ نَتَّبِعُ مَاۤ أَلۡفَیۡنَا عَلَیۡهِ ءَابَاۤءَنَاۤۚ أَوَلَوۡ كَانَ ءَابَاۤؤُهُمۡ لَا یَعۡقِلُونَ شَیۡـࣰٔا وَلَا یَهۡتَدُونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”

(al-Baqarah: 170)



Dogamatism golongan terdahulu

Beberapa ayat al-Quran di atas sebagai salah  satu cerminan kepada pendekatan yang digunakan oleh Para Anbiya’ terdahulu. Iaitu meletakkan prinsip, dan mengkritik taqlid buta.

Selain itu, al-Quran mengkritik Dogmatism yang merupakan amalan golongan terdahulu. Dogmatism dianggap sebagai satu penyakit tidak menerima hujah orang lain sekalipun dia sendiri tidak punya apa-apa fakta untuk berpegang dengan ideanya.

Perkara ini pernah terjadi pada ummat-ummat terdahulu yang telah pun dimusnahkan oleh Allah S.W.T disebabkan kedegilan mereka menerima kebenaran.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T menolak golongan kafir yang berpenyakit Dogmatism:



وَإِن كُنتُمۡ فِی رَیۡبࣲ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُوا۟ بِسُورَةࣲ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُوا۟ شُهَدَاۤءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ

“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(al-Baqarah: 23)



Dogmatism mereka ialah kekerasan mereka untuk tidak menerima dakwah Nabi Muhammad S.A.W sekalipun mereka telah melihat hujah al-Quran dan kemukjizatannya.

Lalu Allah S.W.T mencabar sekiranya mereka masih ragu, ciptalah surah semisal dengan al-Quran. Sudah pasti mereka tidak mampu. Cabaran al-Quran terhadap golongan dogmatis perlu dikaji.

Di dalam al-Quran, ada beberapa ayat yang menceritakan cabaran terhadap golongan yang terkesan dengan aliran Sophisme. Ada cabaran membawa satu surah semisal, atau 10 ayat semisal.

Keras kepala

Di dalam ayat 23 Surah al-Baqarah menceritakan cabaran Allah S.W.T terhadap golongan yang terkesan dengan aliran Sophisme. Sepertimana yang saya katakan di awal tadi, manhaj dan matlamat Sophisme ialah keraguan.

Golongan yang meragui al-Quran, mereka bukannya mengkritik al-Quran untuk melahirkan pegangan yang kuat, akan tetapi untuk terus meragui.

Hal ini dibuktikan dalam al-Quran tentang golongan-golongan terdahulu yang masih lagi keras kepala sekalipun telah melihat kebenaran para Nabi mereka.

Kalau Bani Israel, bukan hanya sekadar mendengar hujahan Nabi Musa A.S, akan tetapi sudah melihat laut terbelah depan mata, dan menikmati makanan daripada syurga.

Persoalannya, atas justifikasi apa keraguan mereka itu? Antara yang dihujahkan oleh mereka, bahawa mereka itu tidak nampak Allah S.W.T:



وَإِذۡ قُلۡتُمۡ یَـٰمُوسَىٰ لَن نُّؤۡمِنَ لَكَ حَتَّىٰ نَرَى ٱللَّهَ جَهۡرَةࣰ فَأَخَذَتۡكُمُ ٱلصَّـٰعِقَةُ وَأَنتُمۡ تَنظُرُونَ

“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya”

(al-Baqarah: 55)



Ayat ini antara ayat yang terakhir dalam siri-siri kisah Nabi Musa A.S dan Bani Israel. Mereka sudah pun menyaksikan segala kekuasaan Allah S.W.T sepertimana yang diceritakan tadi.

Apabila sudah kehabisan hujah dan mati akal, mereka terus membuat kesimpulan bahawa mereka tidak akan beriman dengan Allah S.W.T selagi tidak melihat Allah depan mata.

Golongan yang pertikai kerasulan

(1)     Allah S.W.T berfirman di dalam Surah al-An’am ayat 7 dan 8:



وَقَالُوا۟ لَوۡلَاۤ أُنزِلَ عَلَیۡهِ مَلَكࣱۖ وَلَوۡ أَنزَلۡنَا مَلَكࣰا لَّقُضِیَ ٱلۡأَمۡرُ ثُمَّ لَا یُنظَرُونَ

“Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? ” padahal kalau Kami turunkan malaikat nescaya selesailah perkara itu (kerana mereka tetap berdegil dan tidak akan beriman), kemudian mereka tidak diberi tempoh (lalu dibinasakan dengan bala bencana secara mengejut).”

وَلَوۡ جَعَلۡنَـٰهُ مَلَكࣰا لَّجَعَلۡنَـٰهُ رَجُلࣰا وَلَلَبَسۡنَا عَلَیۡهِم مَّا یَلۡبِسُونَ

“Dan kalau (Rasul) itu Kami jadikan malaikat, tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki (supaya mereka dapat melihatnya), dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran (tentang kebenaran Nabi Muhammad S.A.W).”



(2)     Kedua-dua ayat ini menceritakan bagaimana hujahan golongan yang beralasan seakan akan Sophisme. Ayat ini menceritakan bahawa mereka itu bukanlah untuk beriman.

a-     Akan tetapi hanya sekadar syok untuk pertikai. Mereka lontarkan keraguan mengapa Rasul bukan dari kalangan Malaikat yang suci tanpa dosa?

b-     Lalu Allah S.W.T menjawab kalau Rasul itu dari kalangan Malaikat sudah pasti mereka akan timbulkan keraguan bagaimana kami nak ikut ajaran Rasul kerana mereka itu Malaikat bukannya manusia.

Justeru, golongan ini bukanlah untuk beriman dengan kerasulan, akan tetapi hanya membuat alasan kona sana sini untuk lari dari kebenaran sekalipun tiada hujah. – HARAKAHDAILY 23/11/2019

- Advertisement -