SEJARAH umat Islam mencatat satu tragedi besar yang tidak boleh dilupakan—jatuhnya Khilafah yang telah menjadi lambang perpaduan dan sistem pemerintahan umat selama lebih daripada 1,200 tahun.
Malapetaka ini bukan sekadar peristiwa politik, tetapi satu cermin bagi kelemahan jatidiri, terpesona oleh popularisme, dan kealpaan dalam memelihara prinsip Islam yang murni.
Maqasid penegakan al-Khilafah
Almarhum Sheikh Dr. Muhammad ‘Imarah, dalam karyanya Kebangkitan Semula Khilafah Islam: Realiti atau Fantasi? (إحياء الخلافة الإسلامية .. حقيقة أم خيال), menegaskan bahawa Khilafah adalah sistem politik Islam yang bertujuan melindungi agama dan umat. Ia bukan sekadar simbol, tetapi institusi yang menjaga kesatuan, kedaulatan, dan penerapan hukum Islam.
Sheikh Dr. Muhammad ‘Imarah merumuskan tiga maqasid utama Khilafah Islamiah:
1. Kesatuan Umat Islam (وحدة الأمة الإسلامية).
2. Kesatuan Wilayah Islam (وحدة دار الإسلام).
3. Keunggulan Syariah Islam sebagai Sumber Utama dalam Fikah dan Perundangan (تفرد حاكمية الشريعة الإسلامية بالمرجعية في الفقه والقانون) atau Kesatuan Sistem Perundangan.
Almarhum Sheikh menegaskan lagi dalam tulisannya:
فَمَعَ وَحْدَةِ الْأُمَّةِ وَوَحْدَةِ دَارِ الْإِسْلَامِ، وَحَّدَتِ الْخِلَافَةُ الْإِسْلَامِيَّةُ الْقَانُونَ، فَأَقَامَتِ الْوَحْدَةَ الْكَامِلَةَ فِي حَضَارَةِ الْإِسْلَامِ وَتَارِيخِ الْمُسْلِمِينَ. تِلْكَ هِيَ الْمَقَاصِدُ الْإِسْلَامِيَّةُ مِنْ وَرَاءِ نِظَامِ الْخِلَافَةِ الْإِسْلَامِيَّةِ … حَافَظَتْ عَلَيْهَا هَذِهِ الْخِلَافَةُ – حَتَّى فِي فَتَرَاتِ ضَعْفِهَا وَتَرَاجُعِهَا – لِأَكْثَرَ مِنْ ثَلَاثَةَ عَشَرَ قَرْنًا … حَتَّى جَاءَ الِاسْتِعْمَارُ الْغَرْبِيُّ بِصَلِيبِيَّتِهِ الْحَاقِدَةِ عَلَى هَذِهِ الْخِلَافَةِ.
“Dengan adanya kesatuan umat dan kesatuan wilayah Islam (Dār al-Islām), Khilafah Islamiah telah menyatukan sistem perundangan, sekali gus membentuk kesatuan sempurna dalam peradaban Islam dan sejarah umat Islam. Inilah maqasid Islamiah yang menjadi asas sistem Khilafah Islamiah. Meskipun mengalami kelemahan dan kemunduran dalam tempoh tertentu, sistem ini tetap dipertahankan selama lebih daripada tiga belas abad. Namun, penjajah Barat yang penuh dengan semangat Salibiyah datang dengan kebencian terhadap Khilafah Islamiah.” (Ihya’ al-Khilafah al-Islamiyyah: Haqiqah am Khayal)
Sejarah telah membuktikan bahawa Khilafah bukan sekadar sebuah sistem politik, tetapi benteng umat Islam. Kejatuhannya membawa perpecahan dan kelemahan yang terus dirasai hingga hari ini.
Dari Tanzimat ke Sekularisme: Jalan panjang kejatuhan Khilafah
1. Kejatuhan Uthmaniyyah dan permulaan era sekularisme.
Pada 3 Mac 1924, Parlimen Republik Turki secara rasmi memansuhkan Khilafah Uthmaniyyah. Khalifah terakhir, Abdülmecid II, dibuang negeri, menandakan berakhirnya sistem pemerintahan Islam yang berusia lebih 600 tahun.
Sejak era Tanzimat (1839–1876), Uthmaniyyah mula mengadaptasi sistem Barat, khususnya model Perancis. Langkah ini bukan sekadar bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran tetapi turut mengubah sistem pendidikan dengan memisahkan peranan ulama.
Akibatnya, pemikiran modenisme semakin berkembang dalam kalangan pemimpin muda, sementara jati diri Islam kian terhakis.
Pengaruh Barat yang semakin kuat membuka ruang kepada gerakan sekular seperti Young Turk, yang dipenuhi dengan amalan rasuah dan pemikiran anti-ulama.
Gerakan ini akhirnya melahirkan Mustafa Kemal Atatürk, seorang pegawai tentera Uthmaniyyah yang mendapat sokongan Zionis dan kuasa Barat untuk menggulingkan Khilafah.
Keputusan 3 Mac 1924 menjadi detik hitam dalam sejarah umat Islam—mengakhiri sistem Khilafah dan membuka lembaran baharu bagi republik yang berlandaskan sekularisme.
2. Tragedi pengkhianatan dan pencerobohan dalaman.
Satu lagi babak kelam dalam sejarah Khilafah berlaku pada 27 April 1909, ketika Sultan Abdul Hamid II—khalifah terakhir yang masih berjuang mempertahankan martabat Islam—dikhianati oleh pengkhianat dalaman.
Melalui konspirasi yang melibatkan golongan elit dalam kerajaan dan campur tangan kuasa Barat, Sultan Abdul Hamid II dipaksa meninggalkan takhta dan dihantar ke Thessaloniki, Greece.
Pengkhianatan ini bukan sahaja mencerminkan kejatuhan moral dalam kalangan pemimpin, tetapi juga menggambarkan betapa dalamnya pengaruh asing yang telah meresap ke dalam struktur pentadbiran Khilafah.
Punca-punca kejatuhan: Terpesona dan populisme
1. Penyakit Terpesona (الانبهار) dan Kepopulisitian.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kejatuhan Khilafah adalah fenomena terpesona dan popularisme.
Dalam era moden, fenomena الانبهار atau keterpesonaan terhadap imej dan personaliti telah menjalar ke kalangan umat.
Tokoh seperti Mustafa Kemal Atatürk digambarkan sebagai pahlawan muda yang gagah—satu imej yang direka untuk memikat hati rakyat dan menyalurkan aspirasi pembaharuan.
Namun, di sebalik imej kemodenan itu terselindung agenda luar yang ingin melemahkan asas Islam melalui paksaan pemikiran sekular.
2. Pengaruh konspirasi luar.
Di samping itu, konspirasi Zionis yang bermula sejak akhir abad ke-19 turut memainkan peranan. Rencana untuk menghapuskan Khilafah telah dimulakan melalui pergerakan seperti yang diketuai oleh Theodor Herzl.
Usaha ini dilanjutkan dengan penanaman elemen-elemen modenisme dan sekularisme dalam sistem pendidikan, pemerintahan, dan budaya.
Golongan yang dahulunya bertanggungjawab memelihara warisan Islam akhirnya terpedaya dengan janji kemajuan yang berpaksikan nilai-nilai duniawi, sehingga secara tidak langsung mengorbankan jati diri dan keutuhan ummah.
Konsekuensi dan pengajaran sejarah
Kejatuhan Khilafah adalah amaran yang keras kepada umat Islam. Ia membuktikan bahawa apabila umat lupa kepada asas keislaman dan terpesona dengan popularisme, kesatuan dan identiti akan terhakis.
Sistem yang telah lama menjadi tonggak perpaduan umat, jika digantikan dengan model yang berasaskan kepentingan duniawi dan sekularisme, akan membawa kepada perpecahan dalaman.
Sebenarnya, reformasi Tanzimat oleh Sultan Uthmaniyyah yang dimulakan pada 1839 telah mengimport sistem Barat (Perancis khususnya) ke dalam sistem pentadbiran Uthmaniyyah telah perlahan-lahan mengasingkan Khilafah antara duniawi dan ukhrawi, seterusnya menyuburkan pemikiran liberal dan radikal dalam kalangan pemimpin muda.
Pengkhianatan dalaman yang terjadi pada 1909 pula menunjukkan betapa mudahnya kuasa asing untuk merosakkan institusi yang paling suci apabila nilai-nilai Islam telah dipertikaikan.
Renungan dan seruan kebangkitan
Dalam menghadapi realiti sejarah yang pahit ini, setiap Muslim hendaklah kembali merenung tujuan sebenar kewujudannya. Kita diingatkan dalam al-Quran:
وَلا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنسَاهُمْ أَنفُسَهُمْ
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.” (Surah Al-Hashr ayat 19)
Ayat ini mengingatkan kita agar tidak terlupa kepada Allah dan nilai-nilai Islam yang sepatutnya menjadi panduan dalam kehidupan.
Walaupun Khilafah secara politik telah pun runtuh, namun Khalifah fil-Ard—iaitu tanggungjawab setiap Muslim sebagai khalifah di muka bumi—masih kekal terpundak atas bahu kita semua.
Kita harus berusaha mengembalikan nilai perpaduan, keilmuan, dan keadilan dalam masyarakat supaya sejarah kelam ini tidak terulang semula.
Kesimpulan: Bangkit dengan iktibar sejarah
Kejatuhan Khilafah menunjukkan betapa lemahnya umat apabila prinsip Islam diabaikan.
Sejak era Tanzimat, sekularisme dan modenisme telah menghakis jati diri Islam, ditambah pengkhianatan dalaman serta pengaruh musuh.
Namun, ini bukan sekadar sejarah untuk dikenang, tetapi pengajaran untuk bangkit. Umat perlu kembali kepada Islam yang sebenar—memperkuat tarbiah, pendidikan, dan keikhlasan dalam perjuangan.
Kata Ibnu Khaldun:
إِعْلَمْ أَنَّ فَنَّ التَّارِيخِ فَنُّ عَزِيزُ الْمَذْهَبِ ، جَمُّ الْفَوَائِدِ، شَرِيْفُ الْغَايَةِ، إِذْ هُوَ يُوْقِفُنَا عَلَى أَحْوَالِ الْمَاضِينَ مِنْ الأُمَمِ فِي أَخْلَافِهِمْ، وَالْأَنْبِيَاءِ فِي سِيَرِهِمْ، وَالْمُلُوكِ فِي دُوَلِهِمْ وَسِيَاسَتِهِمْ حَتَّى تَتِمَّ فَائِدَةُ الاقْتِدَاءِ فِي ذَلِكَ لِمَنْ يَرُوْمُهُ فِي أَحْوَالِ الدِّيْنِ وَالدُّنْيَا.
“Ketahuilah bahawa ilmu sejarah adalah bidang yang mulia jalannya, kaya dengan manfaat, dan luhur tujuannya. Ia memperkenalkan kita kepada keadaan umat-umat terdahulu, perjalanan hidup para nabi, serta pemerintahan dan politik para raja. Dengan itu, dapatlah diambil manfaat sebagai teladan bagi sesiapa yang ingin mencontohinya, sama ada dalam urusan agama mahupun dunia.” (Al-Muqaddimah)
Ringkasnya, sejarah mengajar kita:
Jangan ulangi kesilapan lalu. Bangkitlah, pegang teguh Islam, dan bina semula kekuatan ummah demi kejayaan hakiki di sisi Allah SWT.
ZULHILMI AZIZ ABDUL HANNAN
4 Mac 2025 | 3 Ramadan 1446H – HARAKAHDAILY 4/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!