GURATAN wajah ceria bersulam teruja ahli-ahli NGO Muslim Care Malaysia (MCM) yang berhimpun di ibu pejabat MCM di Selayang, Selangor untuk melaksanakan mesyuarat agung tahunan, bersekali dengan program sambutan dua dekad gerakan swadaya itu. Program mesyuarat agung tahunan itu untuk membedah organisasi, menilai pencapaian yang dilaksanakan dalam tempoh setahun, juga untuk membina ukhuwah, merapatkan jurang kepimpinan dan aktivis NGO bernuansa kebajikan dan dakwah ini.
Pemilihan untuk sesi baru kepimpinan juga diadakan dengan sebahagian besar mengekalkan jawatan untuk terus menggalang gerak kerja kebajikan bertaraf dunia.
Pantas masa bergulir, pejam celik dengan kesaratan aktiviti Muslim Care telah mencecah usia 20 tahun. Berawal dengan misi membantu mangsa tragedi tsunami di Acheh, Sumatera pada Januari 2005 dengan lebih 160,000 mangsa yang tewas.
Sekumpulan relawan meredah langit biru menuju ke Banda Acheh seterusnya menaiki helikopter tentera ke Meulaboh, menjadi saksi mata kehancuran dan keberantakan Acheh diterjah gempa bumi diikuti terjahan tsunami. Sekembali daripada misi tanah rencong inilah maka usaha dibuat untuk menubuhkan sebuah NGO berorientasikan kebajikan dan dakwah.
Bermula dari 2005, di mana sahaja ada petaka serta bencana maka relawan-relawan misi tanpa sempadan ini akan mengucur keringat. Mereka didukungi kuat oleh umat Islam yang prihatin setelah melihat kesungguhan aktivis meredah segala onak kesukaran untuk menyampaikan bantuan. Penulis pernah berpeluang untuk berlanglangbuana menabur bakti di Kashmir, Bangladesh, Pakistan, Afrika, Afghanistan, Syria, Gaza, Filipina, khemah pelarian Rohingya, Bosnia, pelbagai lokasi bencana di Indonesia, Cambodia, Vietnam, Austria, Lubnan dan pelbagai peta luka umat Islam yang lain.
Menurut seorang aktivis kebajikan, Ustaz Muhamad Naim Hashim, “Muslim Care Malaysia adalah seperti abang kepada NGO-NGO Islam yang lain”. Pelbagai jenama NGO kebajikan dan dakwah muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan selepas Muslim Care dilihat berjaya mencapai objektif menabur budi kebajikan.
“Tiada jalan mudah untuk berjaya dan untuk memacu usaha membantu masyarakat. Terdapat ancaman dalaman dan luaran, juga kesungguhan menjaga niat agar tak melencong, apatah lagi dengan persaingan yang seharusnya dilihat sebagai positif,” ujar Haji Zulkifli Wahijan, Presiden Muslim Care yang juga lulusan Universiti Hull, United Kingdom.
Kepelbagaian gerakan kebajikan ummat perlu diselaras dan disatukan, juga meluruskan niat untuk menggerakkan wadah kebajikan dan dakwah yang bertaraf antarabangsa. Di pentas kerja kebajikan antarabangsa pelbagai NGO melengkapkan usaha kerajaan membantu peta luka ummat. Antara yang tersohor seperti Muslim Aid London, Islamic Relief, IHH, Hasanet Foundation, Al Khidmat Foundation serta puluhan nama besar yang lain. Kepelbagaian adalah untuk melengkapkan binaan bangunan matlamat, kerana potensi insan yang berbeza, juga tendensi yang berbeza. Bukan mudah untuk menguruskan kepelbagaian dan inilah yang dirasai dalam MCM selama dua dekad ini.
Menarik juga untuk mengurus kesatuan multi bakat dalam NGO besar ini dengan relawan-relawan yang pernah terlibat dalam siri-siri misi Muslim Care dalam dan luar negara. Puluhan juta kucuran dana diagihkan ke pelbagai misi bencana serta membina institusi wakaf. Ratusan misi dakwah dan kebajikan dalam negara semenjak 20 tahun penubuhan NGO kebajikan ini.
Berasaskan usaha kebajikan dengan pakej dakwah maka MCM menyambangi, menyusuri kampung-kampung orang asal di seluruh pelusuk negara; ini termasuklah kampung-kampung tradisi di pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Puluhan pulau di negara ini telah disantuni seperti Pulau Banggi, Pulau Mabul, Pulau Selakan, Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Ketam, Pulau Mantahani dan lain-lain.
Dalam tempoh dua dasawarsa ini, ramai relawan telah pulang ke negeri abadi, juga ada yang memilih untuk berpangku lengan ketimbang mengucur keringat di medan operasional. Tribut serta segunung emas penghargaan buat pahlawan-pahlawan kami yang telah pulang ke negeri abadi; Almarhum Ustaz Norazli Musa alias Ustaz Toliban yang bersemadi di Baqie’ Madinah, juga Dr. Bashar dan Abu Ishak, aktivis MCM di Syria yang terkorban semasa misi membantu masyarakat di tanah Syam itu.
Tidak lupa kepada pelbagai sahabat yang pernah mencurah bakti dalam wadah ini, ada yang menyambung usaha berkebajikan dalam wadah yang lain. Semoga kita ditemukan di tempat paling indah di negeri abadi kelak. Terus membantu, menyemai bakti bagi menjadi kelompok terbaik berdasarkan Sabda Junjungan junjungan Ar Rasul SAW, “Sebaik-baik manusia ialah yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain”. Maka, mengapa kita diam tak berkutik, memilih untuk berpangku lengan?
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Aktivis bantuan tanpa sempadan
Antara Pengasas Muslim Care Malaysia – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!