Makhluk tersembunyi yang bahaya seperti virus

SEDARKAH kita? Musibah COVID-19 yang sedang melanda negara sekarang ini, bukan sekadar menjemput kegusaran ramai orang tetapi telah terpacul pula satu musibah lain. Sedih sungguh… Ketika negara sedang berjuang dan berperang melawan musuh yang tidak nampak ini, muncul pula satu lagi ‘makhluk’ di balik selimut yang juga tidak nampak, tetapi ‘ada’.

Siapakah ‘makhluk’ itu? Jangan terkejut sahabat… ‘makhluk’ itu berkeliaran di kalangan saudara se-Islam kita sendiri. Kerja mereka mudah. Celik mata; serang, hentam, kutuk dan fitnah kerajaan. Yang ada, ditiadakan; yang tiada, diada-adakan.

Mereka dilatih untuk ‘menembak’ sasaran, diasuh hingga tiada rasa belas simpati, dibutakan penglihatan pada kebaikan dan keburukan dan dihilangkan ingatan rasa bertuhan. Begitu ‘job’ mereka setiap hari sampailah kerajaan yang ada hari ini lingkup dan mati! Allahuakhbar.

Advertisement

“Ketika pintu fitnah dibuka hanya orang pintar yang tahu ketika awal pintu itu dibuka, … sedang orang bodoh baru mengetahui ketika semuanya hancur.”

(Syaikh Muhammad Said Al Buthi)

Waspadalah saudara seagamaku sekalian. Usah melampau ‘membantai’. Takut-takut telanjang ‘muflis’ di akhirat nanti

Rasulullah S.A.W pernah bertanya kepada Sahabat: 

“Tahukah kamu semua siapakah orang-orang yang muflis?”

Lalu Sahabat menjawab: 

“Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah mereka yang tidak memiliki wang dan juga harta.”

Rasulullah S.A.W berkata: 

“Sesungguhnya mereka yang muflis dalam kalangan umat aku ialah mereka yang datang pada hari kiamat kelak membawa pahala daripada solat, puasa dan zakatnya. Namun pada masa yang sama dia juga membawa dosa memaki-hamun sesama manusia, dosa menuduh seseorang dengan tuduhan yang jahat, dosa memakan harta orang lain dengan zalim, dosa menumpahkan darah sesama manusia, dosa memukul atau mencederakan sesama manusia.

“Maka diberikan pahalanya kepada mereka yang dizaliminya ketika di dunia dahulu. Jika habis pahalanya sedangkan belum selesai tuntutan manusia ke atasnya, maka diambil dosa manusia itu lalu ditanggung ke atasnya dan akhirnya dia dihumban ke dalam api neraka.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: 

“Dan janganlah kamu cenderung (memihak atau bersekongkol) dengan orang-orang yang berlaku zalim, maka (jika kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” 

(Hud: 113)

Orang baik belum ‘confirm’ masuk syurga. Orang jahat belum tentu masuk neraka. Selagi pintu taubat masih dibuka dan selagi Allah masih sudi memandang kita, mohonlah sungguh-sungguh rahmat keampunan dan kasih sayang daripada Allah Ya Ghofur Ya Rahman Ya Rahim.

Semoga saya dan sahabat semua tergolong di dalam golongan orang-orang yang mendapat pertolongan Allah. Insya-Allah

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 8/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.