KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, mencadangkan agar rakyat menyumbang bagi ‘menyokong’ perjalanan rasmi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke luar negara.
Beliau mengimbau bagaimana rakyat pada zaman Tunku Abdul Rahman sanggup menyumbang untuk misi kemerdekaan, termasuk memberikan gelang maskahwin.
“Hari ini, Perdana Menteri kita sedang menjalankan misi penting ke luar negara,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu di laman media sosial miliknya.
Beliau turut menyindir tindakan seorang Menteri yang mengisytiharkan sayap pemuda partinya sebagai ‘asnaf’ sambil menyerahkan sebulan gajinya sebagai ‘zakat’.
“Semasa saya membaca berita itu, saya menangis bercucuran air mata sehingga membasahi pipi melihat keikhlasan Menteri itu yang sanggup berzakat untuk asnaf partinya.
“Beliau (Menteri itu) sengaja menggunakan istilah ‘asnaf’ dan ‘zakat’ bagi menggambarkan betapa sucinya pengorbanannya,” sinis Ahmad Fadhli.
Beliau berkata, Menteri atau Ahli Parlimen itu sebelum ini turut menyumbangkan sebulan gaji ke tabung kebajikan kementeriannya, menjadikan dua bulan tanpa gaji untuk tahun ini.
Fadhli menyarankan agar rakyat mempertimbangkan untuk menyumbang, memandangkan negara kini berada dalam keadaan makmur dan rakyat hidup selesa.
Namun, beliau mempersoalkan tindakan Perdana Menteri yang tidak mengambil gaji, dengan berkata, ‘Tidakkah kita bimbang beliau akan jatuh ke kategori B40?’.
“Sebab itulah barangkali syarikat-syarikat swasta berlumba-lumba menaja perjalanannya keluar negara. Tanpa tender, tanpa sebarang iklan, berebut-rebut penajaan masuk. Inilah bukti kita semakin makmur.
“Masjid-masjid dan madrasah boleh buat pengumuman membuka tabung derma untuk perjalanan keluar negara Perdana Menteri kita. Salam Maghrib, kemudian kita menggapi,” sinisnya. – HARAKAHDAILY 22/11/2024
Fadhli ajak rakyat ‘sokong’ misi PM ke luar negara
- Advertisement -