Main angka-angka untuk yakin kegagalan sendiri?

Indeks Peluang Global 2024: Tiada yang boleh dibanggakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet mutakhir ini dilihat bersungguh mengetengahkan pelbagai angka untuk cuba mempengaruhi penerimaan rakyat kepada Kerajaan Madani.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam reaksinya mempersoalkan signifikan angka-angka yang dikemukakan sehingga dibuat ulasan oleh Menteri untuk menjustifikasikan kedudukan negara ketika ini.

“Kononnya ia adalah bukti bahawa Malaysia sedang diyakini di peringkat antarabangsa?” ujarnya yang merasa lucu dengan ulasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Senator Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menteri itu memetik laporan Indeks Peluang Global 2024 dikeluarkan badan pemikir ekonomi Amerika Syarikat, Milken Institute sebagai hujah bahawa Malaysia terbaik dari segi pelaburan kalangan negara pesat membangun Asia.

Tetapi yang pasti kata Ahmad Fadhli, selepas 3 bulan indeks ini dikeluarkan iaitu pada pertengahan Mac lalu, rakyat negara ini semakin terasa dengan pelbagai beban kos sara hidup dengan terkini kenaikan harga diesel.

“Datanglah indeks apa sekalipun, orang kampung yang menggunakan diesel dalam kehidupan seharian sudah terasa sempit dada. YB Menteri yang akan bersara dari Dewan Negara setahun setengah lagi mungkin tak perasan perkara ini.

“Tidak kelihatan perubahan ketara kecuali hanyalah turun naik yang biasa sebagaimana turun naik Ringgit di julat USD4.70 sahaja,” ujarnya membidas sandaran Tengku Zafrul terhadap angka-angka tersebut berbanding realiti sebenar dialami rakyat.

Dalam laporan edisi 2024 tersebut, Malaysia berada di kedudukan 27 mendahului Thailand (37) dan China (39), sedangkan terasa lucu bagi Fadhli apabila pada tahun 2023, negara di kedudukan 27 juga, sedang Thailand (33) dan China (40).

Zafrul pula dengan indeks tersebut menyatakan ia adalah bukti kepada usaha Malaysia dalam mempertingkat kemudahan menjalankan perniagaan dan menangani kekangan utama yang dihadapi oleh pelabur.

“YB Menteri, (saya) mohon berbeza pandangan sedikit. Jika dirujuk laporan badan pemikir ini, tidak pernah Malaysia berada di tangga belakang Thailand dan China pun selama ini.

“Saya memetik sejak tahun 2017, Malaysia berada tangga 14 ketika itu, Thailand (50) dan China (42). Tahun 2018 Malaysia di kedudukan 20, Thailand (29), dan China (41). Tahun 2019 pula Malaysia di kedudukan 22, Thailand (29), China (28). 

“Tahun 2020 Malaysia di tangga 25, Thailand (35) dan China (33). Tahun 2021 Malaysia di kedudukan 28, Thailand (37) dan China (34). Tahun 2022, Malaysia di nombor 25, Thailand (34) dan China (35),” perinci beliau.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyindir, bagi tahun 2024, selepas ‘usaha gigih’ kerajaan termasuklah proses ke sana sini Perdana Menteri berlari-lari anak, Malaysia kekal di tangga 27 dan Thailand (37) dan China (39). – HARAKAHDAILY 12/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -