Pemilik Sabasun Che Salmi Che Ibrahim meninggal dunia

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pemilik Sabasun HYPErRUNCIT Sdn Bhd yang terkenal di Terengganu dengan harga murah dan prihatin terhadap isu umat Islam di Gaza, meninggal dunia pagi tadi. 

- Advertisement -

Difahamkan, Che Salmi Che Ibrahim yang menghidap penyakit kanser menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4.45 pagi di Kuala Lumpur.

Sementara itu, solat jenazah akan diadakan selepas solat Asar di Masjid Khalifah Jalan Pusara dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, di sini.

Berita mengenai pemergian Salmi turut dirasai oleh pimpinan PAS yang melahirkan ucapan takziah di media sosial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemergian Allahyarham cukup dirasai dan berbekas.

“Allahyarham sangat dikenali dengan sifat dermawannya yang sentiasa menghulurkan tangan dalam membantu masyarakat melalui pelbagai program kebajikannya. Bahkan juga merupakan antara penyumbang terbesar buat saudara kita di Palestin.

“Mohon sama-sama doakan agar Allahyarham diberi kerahmatan, diampunkan dosanya, diredhai kematiannya serta ditempatkan dikalangan ahli-ahli syurga, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Tindakan jihad Allahyarham direkodkan pada Mac 2024, yang mana pasar raya Sabasun secara rasmi menghentikan jualan jenama yang terlibat dengan Israel.

Sabasun telah memulakan kempen boikot barangan Israel sejak 2002 secara berperingkat bermula dengan menghentikan penjualan minuman Coca-Cola dan Pepsi sebelum memboikot barangan lain yang memberikan keuntungan kepada zionis Israel.

Namun, pada tahun ini secara rasmi semua produk keluaran Nestle sepenuhnya. Kini tiada lagi jenama seperti Milo, Nescafe, Maggi, dan banyak lagi barangan. – HARAKAHDAILY 4/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -