Bina sentimen masyarakat dengan program kebajikan, dakwah

- Advertisement -

KOTA BELUD: Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata masa depan Kota Belud adalah cerah bersama Islam dan PAS tanpa mengetepikan bukan Islam.

- Advertisement -

Katanya, PAS Kota Belud telah membina sentimen yang baik dalam kalangan masyarakat dengan pelbagai program kebajikan dan dakwah.

“Kota Belud kini sedang subur dengan institusi pendidikan yang sedang berkembang, bermula dari PASTI dan sekarang SRITI,” ujarnya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan ke-36 di Dewan Aura Raudhah, Kampung Rampaian Laut, kelmarin.

Menurutnya, PAS Kota Belud mempunyai ahli dengan latar belakang yang pelbagai dan perlu memposisikan ahli dengan baik sesuai dengan kepakaran mereka terutama sekali dalam konteks dakwah.

“Tahniah kepada PAS Kota Belud, teruskan perjuangan, mantapkan pelaksanaan, niatkan kerja-kerja kebajikan, mudah-mudahan atas kebajikan yang kita lakukan, akhirnya masyarakat jatuh cinta dan menyokong serta mendukung PAS,” katanya.

Beliau juga menzahirkan rasa teruja apabila dapat menaiki usunan (foto atas) yang merupakan alat untuk mengangkat orang kenamaan dalam adat suku kaum Irranun dan Bajau Samah ketika tiba ke tapak majlis perasmian. – HARAKAHDAILY 4/6/2024