Usaha tangani denggi perlu kerjasama semua

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Peningkatan kes denggi di negeri ini memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat serta pihak berwajib dalam usaha menanganinya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, setakat ini 1,550 kes dilaporkan Minggu Epidemiologi (ME) ke-16 tahun ini.

“Angka ini menunjukkan (berlakunya) peningkatan sebanyak 19.1 peratus atau 249 kes, berbanding 1,301 kes bagi tempoh sama (pada) tahun lepas.

“Malah setakat ini terdapat empat kes kematian denggi bagi tempoh tersebut berbanding sifar kes bagi tempoh sama tahun lepas,” jelasnya, di sini.

Kata Mansor lagi, susulan peningkatan kes, ‘trend’ peningkatan wabak juga berlaku hingga ME ke-16 itu sebanyak 136 kes yang direkodkan, berbanding 121 kes dalam tempoh sama pada 2023 (12.4 peratus).

“Justeru, peningkatan kes dan kematian berterusan ini memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat serta pihak berwajib dalam usaha menanganinya,” tambah beliau.

Susulan daripada itu, semalam beliau hadir meninjau lokaliti  ‘hotspot’ denggi sekitar Taman Sejati Indah, di sini.

Bermula Januari lalu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dengan kerjasama kerajaan negeri memperkenalkan Kod QR Pemeriksaan Tempat Pembiakan Aedes Kendiri.

Kod QR itu jelasnya, memberi panduan tempat berisiko pembiakan Aedes dan membolehkan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan direkodkan, menerusi pemeriksaan di kediaman sendiri.

Sementara data penggunaan kod QR ini akan dipantau dan dinilai JKN bagi pemberian insentif pencapaian di peringkat individu dan komuniti.

“Sebagai permulaan inisiatif ini melibatkan penduduk di beberapa lokaliti berisiko dan akan diperluaskan ke seluruh negeri ini pada masa akan datang,” jelas ADUN Kuala Ketil itu lagi. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

- Advertisement -