Belian pin BSN untuk mohon ke IPTA membebankan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sewajarnya tidak mengenakan sebarang bayaran kepada rakyat yang mahu menyambung pengajian peringkat tinggi, apatah lagi semasa proses pemilihan kemasukan ke universiti.

Ustaz Sabri Azit (PN-Jerai) berkata, harga pembelian nombor pin BSN untuk permohonan ke institusi pengajian tinggi awam berharga RM10.60 boleh memberikan kesan kepada rakyat miskin di luar bandar untuk memohon melanjutkan pengajian.

- Advertisement -

Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Ustaz Sabri menyentuh soal ini berikutan terdapat aduan disampaikan kepadanya oleh pelajar yang memohon masuk ke institusi pengajian tinggi dan kemahiran awam di mana memerlukan pembeli nombor PIN BSN yang terpapar di laman web BSN.

“Namun tiada apa-apa pengumuman mahupun kenyataan rasmi dari Kementerian Pendidikan Tinggi atau jabatan pendidikan tinggi atau UPU bahagian pengurusan kemasukan pelajar.

“Jika berita ini benar, minta kementerian untuk menjelaskan kenapa perubahan ini berlaku sedangkan semenjak tahun 2020 sehingga tahun 2023 tidak dikenakan sebarang bayaran atau pembelian nombor pin BSN.

“Malah permohonan ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan juga tidak mengenakan sebarang bayaran pembelian nombor pin,” ujar beliau.

Beliau juga ingin mengetahui sebab sebenar bayaran pembelian nombor pin UPU ini dan sejauh manakah kerjasama kerajaan dan BSN sebagai ejen yang mengambil untung dari pembelian tersebut.

“Begitu juga dengan yuran MUET telah dinaikkan dari RM100 ke RM150. Semua ini amat membebankan khususnya pelajar dan rakyat,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -