Ukhwah penting bagi pastikan legasi perjuangan tercapai

- Advertisement -

UKHWAH merupakan anugerah daripada kekuatan iman dan takwa yang melahirkan perasaan kasih sayang mendalam. Ukhwah juga sangat penting untuk merapatkan masyarakat dengan pimpinan di semua peringkat. 

- Advertisement -

Bagi menghasilkan satu rantaian yang kuat dalam persatuan atau organisasi, ukhwah sangat penting. Mana mungkin visi dan misi persatuan atau organisasi tercapai jika ahli dan pimpinan tersebut tidak selari atau tidak bersatu hati. 

Tambahan pula apabila berada dalam gerakan Islam, sudah tentu ukhuwah menjadi asas penting untuk memastikan legasi perjuangan terhasil atau tercapai. 

Secara langsung ukhwah antara masyarakat dengan pimpinan menjadi salah satu cara untuk mengekalkan kemenangan. 

Justeru, setiap pimpinan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, pelbagai program dilaksanakan bagi memastikan hubungan mereka dengan masyarakat terjalin mesra. 

Inilah pentingnya ukhwah bukan sahaja dalam keluarga, persatuan, organisasi bahkan dalam sebuah negeri dan negara. 

Melihat kepentingan itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebenarnya untuk membina  masyarakat adalah bermula daripada keluarga dan hendak membina negara pula ia bermula daripada masyarakat. 

“Jadi kalau kita hendak lahirkan negara sejahtera, ia mesti lahir daripada masyarakat yang sejahtera. Masyarakat yang sejahtera pula lahir daripada individu-individu yang berkualiti. 

“Jadi apabila kita rapatkan ukhwah, sudah pasti musuh-musuh sama ada yang nampak atau tidak nampak tidak berjaya memecahkan kesatuan hati-hati kita,” katanya. 

Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Rumahtangga PAS Pusat ini menegaskan, apabila kemantapan ukhwah ini tidak dijaga, maka akan timbul banyak masalah dalam organisasi, keluarga dan juga gerakan Islam. 

“Alhamdulillah kita berazam akan turun ke seluruh negara dan kita akan bekerjasama dengan semua lajnah pembangunan insan di setiap negeri dengan penglibatan pimpinan,” katanya. 

Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Rumahtangga PAS Pusat mengambil peranan untuk melahirkan keluarga Malaysia sejahtera serta keluarga haraki PAS yang istiqamah dalam perjuangan PAS. 

Justeru, kata Zailah, Jawatankuasa Lajnah perlu berusaha membantu masyarakat dan keluarga bermasalah bagi menghasilkan keluarga Malaysia sejahtera. 

Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini akan bekerjasama dengan Amalnita (Yayasan Amal) untuk membentuk wanita dan keluarga yang sejahtera.

Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Rumahtangga PAS Pusat juga beritahu Siti Zailah, akan meneruskan program ukhwah melalui Hari Keluarga PAS Pusat yang dijangka pada awal Mei di Putrajaya. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -