ADUN gerak usaha turap jalan rosak akibat banjir

- Advertisement -

PASIR PUTIH: Pusat Khidmat DUN (PKD) Semerak dengan kerjasama Pemuda PAS DUN Semerak mengambil langkah segera menurap jalan-jalan kampung yang rosak akibat banjir Disember tahun lepas.

- Advertisement -

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Nor Sham Sulaiman memberitahu, kerja-kerja menurap jalan kampung berkenaan turut dilakukan Jabatan Amal DUN Semerak pada waktu malam menerusi dua sesi.

Jelasnya, seramai 10 anggota Pemuda PAS DUN dan Jabatan Amal membantu menurap jalan dengan kaedah menutup jalan yang rosak menggunakan simen.

“Pemuda kita bersama Jabatan Amal Semerak membantu menurap jalan yang berlubang, yang rosak akibat banjir akhir tahun lepas.

“Sebanyak 10 laluan yang rosak  melibatkan Jalan Sungai Petai, Jalan Kulim dan beberapa buah jalan lagi telah diturap dengan simen buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau menambah, usaha yang dilakukan oleh pihaknya untuk memberi keselesaan pada orang ramai yang menggunakan jalan-jalan berkenaan agar tidak terdedah pada bahaya sehingga berlaku kemalangan.

Beliau yang turut menyertai kerja-kerja menurap itu melahirkan rasa syukur kerana usaha berkenaan melegakan penduduk kampung, malah berjaya memberi keselesaan pada pengguna.

Sham juga berkata, pihaknya akan membuat permohonan dengan kerajaan negeri bagi membolehkan jalan-jalan berkenaan diturap dengan tar agar ianya bertambah baik. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -