Kerjasama kerajaan dengan organisasi agama pulihkan LGBT

Dr Asiah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bekerjasama  dengan organisasi agama untuk merangka strategik yang berkesan bagi memulihkan golongan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

- Advertisement -

Menurut Pengarah Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) Pusat, Dr. Asiah Ali, LGBT adalah penyimpangan sosial yang memiliki orientasi yang bertentangan dengan fitrah manusia, agama dan budaya hidup masyarakat.

Katanya usaha perlu dilaksanakan bersama antaranya, menubuhkan sebuah badan kebajikan yang bertanggungjawab membawa golongan itu kembali ke pangkal jalan.

Manakala kata beliau khidmat nasihat dan kaunseling juga boleh diberikan kepada golongan yang hanyut dalam dunia LGBT agar mereka kembali insaf.

Beliau berkata, kempen boleh dianjurkan dengan giat oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membendung dan membanteras gejala itu. 

Bekas pensyarah UiTM itu mencadangkan supaya kempen kesedaran boleh diadakan  menerusi media massa dan elektronik seperti televisyen serta media sosial, Facebook dan sebagainya.

“Iklan dan rencana tentang isu LGBT dan cara membasmi gejala LGBT seharusnya dipaparkan untuk pengetahuan masyarakat umum.

“Ibu bapa juga mempunyai peranan untuk mengawasi keadaan anak-anak mereka pada setiap masa.

“Perubahan  fizikal dan emosi anak-anak juga perlu sentiasa dikawal agar kecenderungan mereka terhadap gejala LGBT dapat dibendung,” katanya kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 3/2/2024

- Advertisement -