Hak pemandu e-hailing: Satu lagi penipuan Madani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kebajikan pemandu e-hailing di negara ini masih lagi tiada kesudahan, demikian kenyataan dikeluarkan Profesional Istiqamah, hari ini.

Menurut mereka, kadar bayaran yang semakin lama menurun ternyata tidak setimpal dengan jerih keringat dicurahkan pekerja ekonomi gig ini.

“Terbaru, kadar bayaran bagi pekerja e-hailing Grab terus merosot daripada RM 4.50 kepada RM 3.50 sahaja!

- Advertisement -

“Apa yang menyedihkan, Kerajaan Madani menerusi Anwar Ibrahim pernah menabur janji manis dan harapan tinggi kepada pemandu e-hailing pada bulan Julai 2023,” ujar kenyataan itu.

Dalam program tersebut, Anwar Ibrahim dengan jelas menyatakan janji untuk bertemu dengan semua syarikat e-hailing bagi menyelesaikan masalah kadar bayaran yang tidak berpatutan ini.

“Benar, pertemuan telah dibuat pada bulan Ogos 2023, namun begitu masalah ini tidak pun diselesaikan dengan tuntas. Memetik sebahagian rangkuman pertemuan tersebut yang dikeluarkan oleh J-KOM.

“Syarikat pengendali p-hailing memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta memperhalusi pandangan pihak penghantar berhubung perkara berkenaan,” dipetik kenyataan itu.

Tegas Profesional Istiqamah, jelas bahawa pemandu e-hailing telah diperdaya dengan satu lagi janji manis oleh Anwar Ibrahim apabila tiada ketetapan tegas berkenaan tindakan wajar diambil syarikat e-hailing.

Sebagai tindak balas, sebahagian besar pekerja p-hailing Grab telah mengambil keputusan mengadakan mogok pada hari ini 19 Januari bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Grab ujar kenyataan itu, sebagai syarikat yang disenaraikan di bursa saham Amerika Syarikat, NASDAQ sebenarnya masih belum mencapai keuntungan sejak mula-mula ia ditubuhkan.

Ditambah pula dengan kehadiran pandemik Covid-19, Grab telah mencatatkan pula kerugian berterusan di mana pada 2021, kerugian dicatatkan Grab telah mencecah USD3.4 billion.

“Grab sebenarnya telah mengambil langkah menyerap kerugian demi mengutamakan pengembangan perniagaan, pengaruh jenama dan kumpulan pengguna khususnya di Asia Tenggara.

“Namun bermula 2023, Grab telah mula beralih arah untuk memfokuskan kepada keuntungan dan mengurangkan kerugian. Pada suku ketiga 2023, Grab telah berjaya mencatatkan pendapatan sebanyak USD650 juta.

“Ini menghasilkan keuntungan kasar hampir USD29 juta. Disebabkan inilah, Grab dalam proses agresif untuk memaksimumkan pendapatan bagi memperoleh keuntungan,” ujar mereka lagi.

Menurut Grab petik kenyataan tersebut, mereka meletakkan sasaran untuk ‘break even’ pada sekitar pertengahan 2024 yang menjadi faktor pelbagai langkah diambil oleh Grab demi mencapai sasaran yang diletakkan. 

“Hal ini termasuklah mengurangkan kadar bayaran pemandu Grab. Laporan oleh Nikkei Asia pula menyebutkan keuntungan yang berjaya dicatatkan pada suku ketiga 2023.

“Iaitu adalah berpunca daripada siri-siri penjimatan Grab antaranya termasuklah pengurangan insentif untuk pengguna dan pengurangan pengambilan pekerja. 

“Pada Jun 2023 sahaja, hampir 1000 pekerja iaitu bersamaan 11 peratus tenaga kerja Grab telah diberhentikan.

“Kita memahami sebagai entiti perniagaan raksasa di Asia Tenggara yang tersenarai dalam pasaran saham antarabangsa, Grab memerlukan keuntungan.

“Namun sebagai sebuah syarikat yang pernah membina tapak sebagai ‘start up’ di Malaysia, secara moralnya, kerajaan mempunyai hak untuk melakukan intervensi terhadap dasar Grab yang tidak mengutamakan kebajikan pekerja mereka.

“Isu yang paling utama dalam polemik kali ini adalah retorik politik pemimpin nombor 1 negara yang tidak jemu melakukan langkah populis dan seterusnya mengecewakan rakyat,” ujar mereka.

Walhal kata kenyataan itu, rakyat menaruh harapan besar terhadap janji-janji yang ditaburkan di mana kesalahan sebegini tidak menggambarkan profesionalisme dan tatakelola yang baik oleh kerajaan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam isu kebajikan pemandu p-hailing juga tegas mereka, hanya tindakan penguatkuasaan menerusi penggubalan akta khusus dapat menjamin kebajikan pekerja gig ekonomi ini dalam ketidaktentuan ekonomi global. – HARAKAHDAILY 19/1/2024

- Advertisement -