Bilal masjid terima rumah sumbangan kerajaan negeri

- Advertisement -

KUALA KRAI: Bilal Masjid Al Majid Kampung Manek Urai Lama Mohd Azhar Ab Rasyid, 46 hari ini menduduki rumah baharu yang disumbang kerajaan melalui inisiatif Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah.

- Advertisement -

Rumah tersebut yang dibina dengan kos kira-kira RM55,000 memberi keselesaan kepada beliau tinggal bersama isteri dan empat anaknya.

Sebelum ini beliau tinggal menumpang di rumah mertuanya yang terletak di kawasan berhampiran. Rumah tersebut dibina kira-kira tiga bulan lepas.

Azhar melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Adun Manek Urai, Penghulu Mukim Manek Urai Lama Norhisharudi Yaacob dan Kerajaan Negeri memilih keluarganya mendapat rumah tersebut secara percuma.

“Tidak terungkap perasaan gembira kerana sekarang memiliki rumah sendiri bagi keselesaan isteri dan anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci rumah tersebut di Kampung Temiang.

Penyerahan kunci dilakukan Mohd Fauzi.Turut hadir anggota Exco Kerajaan Negeri Hilmi Abdullah, penghulu dan pimpinan masyarakat tempatan.

Mohd Azhar yang memiliki ijazah daripada sebuah universiti memilih berkhidmat sebagai bilal masjid yang terletak kira-kira empat kilometer dari rumahnya. – HARAKAHDAILY 22/12/2023

- Advertisement -