Penduduk Kampung Setia Jaya berdepan pengusiran kaum? 

- Advertisement -

WANGSA MAJU: Penduduk Kampung Setia Jaya di mana semuanya terdiri daripada orang-orang Melayu dikhuatiri menjadi mangsa pengusiran bermotifkan perkauman yang berselindung di sebalik pembangunan.

Timbalan Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Iszuree Ibrahim berkata, desakan untuk para penduduk terbabit keluar daripada tanah didiami sejak tahun 1970-an itu mengulangi tragedi seumpama pernah berlaku.

Beliau mengaitkan situasi tersebut dengan lenyapnya pendudukan orang-orang Melayu daripada beberapa perkampungan tradisi di Pulau Pinang antaranya Kampung Batu Uban dan Kampung Batu Ferringhi.

Malah menurut beliau, kedukaan sama pernah berlaku dalam peristiwa di Kampung Chubadak, Kampung Aman, Kampung Berembang serta beberapa lagi yang sudah pun dipupuskan dari peta sejarah negara.

Kini kesali beliau, pengusiran seumpama sedang diulangi secara sistematik dan strategik atas nama pembangunan, sedangkan penduduk asal yang meneroka tanah itu adalah rakyat dan bekas perajurit negara.

Maklum Iszuree, dari segi sejarahnya Kampung Setia Jaya adalah tanah hutan yang dibuka oleh bekas anggota-anggota tentera atas permintaan Perdana Menteri Ke-2, Tun Abdul Razak Hussein pada masa itu.

Menurut rekod ujarnya, pemimpin kerajaan mahu lebih ramai Bumiputera Melayu berhijrah ke bandar bagi menstabilkan politik di mana rumah kediaman didirikan di situ menerusi pembahagian lot dengan bayaran tertentu.

Jelas beliau, asalnya hutan yang dijadikan kebun itu disebut sebagai Kampung Melayu Buku Hijau dengan turut merangkumi Taman Melati ketika ini dan projek Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Malangnya kata Iszuree, permohonan keluarga penduduk antaranya terdiri daripada bekas perajurit negara untuk mendapat geran tanah tidak pernah ditunaikan dan kini mereka berdepan notis pengusiran.

Maklumnya, tanah tersebut telah diberikan pemilikannya kepada pemaju yang akan membangunkan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) iaitu institusi pengajian tinggi swasta milik MCA.

Beliau terdahulu hadir bertemu dan berdialog bersama penduduk setempat dengan turut disertai Penasihat Lajnah, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamad Daud.

Turut bersama adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Noor Sham Din serta Ahli-ahli Jawatankuasa Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat, juga pimpinan PAS Wangsa Maju. – HARAKAHDAILY 15/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -