Kebersihan kunci utama tarik pelancong ke Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kelantan diharap berusaha bagi mencapai agenda Kelantanku Bersih.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata hasrat tersebut dapat dicapai melalui pendekatan, kesedaran dan ganding semua lapisan masyarakat.

“Selain itu memperkukuhkan undang-undang, peraturan dan penguatkuasaan melibatkan kebersihan, kita perlu tegas terutamanya di pusat pembuangan sampah dan lokasi tumpuan pelancong.

“Serta memperluaskan ‘waste to money’, kempen program kitar semula yang perlu diperhebatkan lagi bagi menggalakkan kesedaran orang ramai,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Kelantanku Bersih 2023 hari ini.

Hadir sama mantan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad dan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah.

Kempen Kelantanku Bersih dilancarkan pada 25 April 2021 dan diperkasa dengan Dasar Kelantanku Bersih 2022–2027 yang diluluskan 11 Mei 2022 di Dewan Undangan Negeri (Dun).

Mohd Nassuruddin berkata aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan bakal menjadi kunci utama bagi tarikan pelancong dalam dan luar negara untuk datang ke Kelantan.

Katanya, Kelantan akan melaksanakan Tahun Melawat Kelantan 2024 dan kerajaan negeri menyasarkan pengunjung seramai 10 juta.

“Menjadi agar fokus berterusan dapat diberi kepada usaha itu bagi mencapai hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Kelantan negeri bersih berteras Membangun Bersama Islam.

“Semoga peruntukan bejat kempen Kelantanku Bersih sebanyak RM12.8 juta tahun depan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh PBT.

“Saya berharap PBT dapat menggunakan bayaran Wang Perkhidmatan Kemajuan (ISF) fasa satu kepada PBT Kelantan berjumlah RM3.1 juta meningkatkan infrastruktur di kawasan masing-masing,” katanya.

Menurutnya juga pelancaran Photobook Kelantanku Bersih dijadikan panduan dalam menyemarakkan lagi kesedaran rakyat Kelantan mengenai kebersihan. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

- Advertisement -