Status cadangan LPT3 dari Terengganu ke Kelantan

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cadangan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 dari Kampung Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan dibangkitkan pada persidangan Dewan Negara, hari ini

- Advertisement -

Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengemukakan soalan kepada Menteri Kerja Raya mengenai status projek itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Soalan Ahli-ahli Dewan Negara daripada PAS, Bersatu dan Gerakan yang disenaraikan hari ini sebagaimana di bawah.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan berapakah peratus sumbangan negeri Kelantan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) khususnya dalam semikonduktor dan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan untuk meningkatkan pelaburan di Kelantan dalam bidang ini.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pendidikan menyatakan dasar terbaru Kerajaan mengenai pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai minta Menteri Kesihatan menyatakan:-

(a) apakah perkembangan terkini penambahbaikan sistem gaji termasuk elaun dan jadual kerja pegawai perubatan serta petugas kesihatan yang lain; dan

(b) apakah setiap langkah yang telah diambil oleh Kementerian secara dalaman dan luaran berhubung penambahbaikan sistem gaji pegawai perubatan dari Disember 2022 hingga sekarang.

Datuk Razali bin Idris minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan penjanaan pendapatan ekonomi negara sejak memperkenalkan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan kategorikan jumlah penjanaan hasil MM2H menerusi fi visa, pembelian hartanah, pembelian kenderaan persendirian, simpanan tetap dan perbelanjaan isi rumah pada tahun 2018, 2019, 2020, 2021 dan 2022.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Menteri Ekonomi menyatakan mekanisme yang telah dirangka bagi penyampaian subsidi bersasar khususnya terhadap barangan kawalan yang telah diapungkan harganya dalam pasaran.

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta Perdana Menteri menyatakan langkah segera pihak Kerajaan dalam menangani musim banjir yang akan datang dan apakah status enam unit pam air berkuasa tinggi yang diperuntukan sebanyak RM12 juta bagi mengatasi banjir termenung di jajahan Pasir Mas sebagaimana yang diisytiharkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 15 Disember 2022.

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Ekonomi menyatakan justifikasi jadual pendapatan isi rumah (HIS) yang terkini dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa daripada sudut baki pendapatan boleh guna (net disposable income).

Tuan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian minta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan untuk merancakkan kegiatan ekonomi usahawan mikro, kecil dan sederhana.

Datuk Teo Eng Tee @ Teo Kok Chee minta Menteri Pengangkutan menyatakan pemahaman, pendirian dan tindakan susulan Kementerian berkenaan mogok oleh kelompok pemandu lori terhadap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikatakan berlaku zalim kepada mereka.

Tuan Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz minta Menteri Kerja Raya menyatakan apakah status cadangan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 dari Kampung Gemuroh, Terengganu ke Pengkalan Kubor, Kelantan sepanjang 151 KM.

Tuan Musoddak bin Ahmad minta Menteri Perladangan Dan Komoditi menyatakan rancangan pembangunan perindustrian getah dalam negara seiring dengan pembangunan Kedah Rubber City (KRC).

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya menyatakan sejauh mana kempen Cuti-Cuti Malaysia Tahun 2023 dapat melonjakkan ekonomi industri pelancongan tempatan khususnya di Terengganu.

Tuan Haji Hussin bin Ismail minta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan menyatakan sejauh mana komitmen Kerajaan untuk memperkasakan Jawatankuasa Sekuriti Makanan peringkat negeri dan daerah dalam usaha menangani isu sekuriti makanan yang semakin kritikal pada waktu ini.

Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta Perdana Menteri menyatakan pertimbangan Kerajaan bagi menaikkan kadar pajakan Pulau Pinang kepada Kedah bersesuaian dengan nilai semasa.

Dato’ Haji Husain bin Awang minta Perdana Menteri menyatakan rancangan bagi memastikan tiada penyalahgunaan kad UNHCR yang seolah-olah dilihat kebal daripada sebarang tindakan penguatkuasaan. – HARAKAHDAILY 14/12/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!