Mesej jelas PMX segera kembalikan royalti minyak

Datuk Razali Idris
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kemenangan penuh barakah Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Pilihanan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman adalah hadiah istimewa daripada Umno untuk PMX dan kerajaan perpaduan ala Madani yang genap setahun berkerajaan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris mengucapkan terima kasih kepada ahli dan penyokong Umno dengan menterjemahkan undi yang bermakna dan memberi mesej sangat jelas pada PMX.

Menurutnya, rakyat sudah bersedia bersama PERIKATAN NASIONAL (PN) dan PAS sebagai wadah suara rakyat masa kini dan masa depan.

“Pimpinan Umno bukan lagi membawa suara Melayu Islam Bumiputera, mereka sudah hilang kemelayuannya malahan bersekongkol mendera rakyat Terengganu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, berilah apa sahaja sogokan tetapi pengundi sudah meluat dengan pelbagai alasan karut marut menidakkan royalti minyak Terengganu.

“Kerana ego menebal, pimpinan Umno bersekongkol dengan DAP sehingga tergelincir dari asas perjuangan Melayu Islam serta tanah air,” ujarnya yang juga Adun Kijal.

Beliau berkata, sekarang semuanya terlepas iaitu terlepas menang, undi orang Umno, undi orang Melayu dan kepercayaan rakyat.

“Elok segerakan kembalikan royalti minyak Terengganu sebelum rakyat bangkit secara total,” katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu.

Tambahnya, PN dan PAS adalah kini parti suara Melayu Islam Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia.

Pada PRK Parlimen Kemaman, semalam, Ahmad Samsuri menang dengan majoriti 37,220 undi apabila memperolehi 64,998 undi menewaskan calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mendapat 27,778 undi. – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -