6 ekor lembu dikorban sempena majlis kesyukuran Exco

- Advertisement -

TUMPAT: Sebanyak enam ekor lembu dikorbankan sempena jamuan kesyukuran perkahwinan anggota Exco kerajaan negeri Wan Roslan Wan Hamat semalam.

- Advertisement -

Kenduri kesyukuran itu menggabungkan tenaga sukarelawan petugas Pusat Khidmat Dun Pengkalan Kubor, penghulu, Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat, Ameerah dan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Tumpat.

Mereka menyiapkan juadah bermula daripada mengorbankan lembu, menggulai dan menghidangkan kepada orang ramai yang hadir.

Kedudukan lokasi program di tepi lagun Pantai Tujuh dan restoran terapung membuatkan ramai tetamu berpeluang merakam gambar kenangan bersama pasangan pengantin.

Majlis kesyukuran itu diadakan di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh dekat sini yang bermula jam 12 tengah hari sehingga lewat petang.

Hadir sama meraikan majlis terbabit Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, Timbalan Menteri Besar Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Speaker DUN Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan. (Foto atas)

Pada 16 Julai tahun lepas Wan Roslan yang juga Adun Pengkalan Kubor, kehilangan isterinya Wan Norihan Wan Ab Rahman yang meninggal dunia akibat masalah paru-paru berair.

Selepas lebih setahun menduda akhirnya wakil rakyat terbabit mendirikan rumahtangga bersama Nurfariza Mhd Hassan dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu.

“Terima kasih kepada semua jentera bermula dari Pejabat Pusat Khidmat DUN, penghulu-penghulu, peserta Ladang Rakyat, Pemuda PAS, Muslimat, Ameerah.

“Selain itu Jabatan Amal Malaysia Kawasan Tumpat, pendikir, kumpulan selawat, DHPP dan lain-lain yang bertungkus lumus dalam menjayakan majlis kesyukuran semalam,” katanya pada catatan di laman sosialnya. – HARAKAHDAILY 11/9/2023

- Advertisement -