HIKMAH 10:
أصل كل معصية وغفلة وشهوة الرضا عن النفس، وأصل كل طاعة ويقظة وعفة عدم الرضا منك عنها.
“Asal setiap maksiat, kelalaian dan syahwat adalah rasa redha terhadap diri. Asal setiap ketaatan, kesedaran dan kehormatan diri adalah tidak redha terhadapnya.”
Maksud:
1. Redha terhadap diri bermaksud merasa diri sudah cukup sempurna. Tidak ada cacat cela. Mungkin dengan amalan yang dibuat, merasa sudah dekat diri dengan tuhan. Itulah akan menimbulkan ujub, takabur dan akhirnya merasa tak bersalah bila berbuat maksiat. Menganggap diri sudah disayang tuhan sehingga boleh buat apa sahaja.
2. Redha sepatutnya terhadap takdir dan ketentuan tuhan. Merasa apa yang tuhan takdirkan adalah yang terbaik bagi kita. Bukan redha terhadap diri. Walaupun kita buat benda baik, sentiasa perlu ada perasaan bimbang kalau-kalau tuhan tak terima, tetapi imbangi juga dengan harapan supaya tuhan terima. Khauf dan raja’.
3. Bila kita tak meredhai diri, kita akan sentiasa rasa nak tambah amalan. Tak bercukup dengan pencapaian sedia ada. Sentiasa improve diri. Di samping kita kena sedar, syaitan sentiasa menghasut jiwa ke arah kejahatan. Sampaikan Nabi Yusof pun tak berani mengaku baik. Firman Allah:
وَمَآ أُبَرِّئُ نَفۡسِيٓۚ إِنَّ ٱلنَّفۡسَ لَأَمَّارَةُۢ بِٱلسُّوٓءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّيٓۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٞ رَّحِيمٞ
“(Nabi Yusof bersabda:) Dan tiadalah aku berani mengsucikan diriku; Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[Yusuf: 53]
Ibrah Ramadan:
Salah satu tarbiyah Ramadan adalah membentuk jiwa yang redha. Bukan sekadar redha dengan berlapar, tetapi juga dengan ujian lain. Kebiasaan di bulan ini, ada sahaja ujian yang menguji sabar dan iman. Bulan lain tak ada pula.
Masing-masing ada macam-macam perancangan bulan puasa dan nak sambut raya ini. Tapi tak semua perancangan ditakdirkan lancar. Ada yang rugi berniaga, tiba-tiba sakit, orang tersayang meninggal, lupa nak tekan suis periuk nasi nak berbuka dan macam-macam. Makin dekat nak habis Ramadan, makin hebat ujian redha nanti. Sama-sama perkuatkan diri.
ALANG IBN SHUKRIMUN
10 Ramadan 1444
1 April 2023 – HARAKAHDAILY 1/4/2023