Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 Parlimen Marang (8)

- Advertisement -

MAHKAMAH diberikan bukti baharu. Catatan perbicaraan petisyen PRU15 P.037, bagi Parlimen Marang  Rabu, 15 Mac.

10:23: Giliran Pegawai dari agensi Kerajaan Negeri, Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Encik Alghazali Abu Bakar, 43 tahun masuk mengangkat sumpah sebagai saksi responden. Peguam responden meminta saksi mengesahkan bahawa penyata dibawa oleh saksi. Apabila lampiran dibaca, tiada bantahan dibuat. Saksi ditanya apakah yang dimaksudkan dengan masa yang suntuk itu?

Alghazali menjelaskan permohonan dana itu dibuka kepada yang layak selama 20 hari iaitu bermula pada 18 September sehingga 7 Oktober 2022. Manakala 10 hari digunakan untuk membuat proses pengesahan kepada permohonan itu dari 8 Oktober sehingga 18 Oktober 2022. Setelah selesai semua proses itu, TSIS mula menghantar nama-nama yang layak ke SUK bermula 18 Oktober sehingga 27 Oktober. SUK kemudiannya menyalurkan kewangan kepada TSIS selepas tarikh itu. TSIS kemudiannya mencadangkan tarikh agihan bermula dari 30 Oktober sehingga 30 November, selama sebulan.

Bagi melicinkan perjalanan agihan, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) diberikan tempoh sebulan kerana PKM juga mempunyai banyak agenda dan program lain yang mungkin akan terganggu kerana program agihan dana ini. PKM juga diberikan ruang masa yang lebih untuk menyerahkan laporan program. Dan TSIS telah menerima kesemua 32 laporan dari PKM.

Jumlah yang dipohon ialah untuk i-Belia seramai 110,400 orang iaitu RM21.075 juta. Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan RM20,396,100.00. Dengan keseluruhan belanja pelbagai, baki yang akan dipulangkan kepada SUK ialah RM55,200.

Peguam pempetisyen mulai menyoal:

Bertanya apa peranan TSIS dan tugas jabatan yang saksi bekerja sekarang. Saksi tidak bersetuju dengan cadangan peguam yang TSIS adalah agensi bagi propaganda politik Kerajaan Negeri. TSIS juga menurut peguam adalah agensi yang bertindak menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Terengganu tanpa melalui Perbendaharaan Negeri, namun saksi sekali lagi tidak bersetuju. TSIS menurut saksi lagi berperanan menyelaraskan program seperti i-Fitri, i-Pencen, bantuan ibu tunggal, bantuan sekolah dan memberikan bantuan wang kepada semua 32 DUN dan lapan Parlimen di Terengganu.

Saksi bersetuju yang semua program yang TSIS laksanakan itu adalah program di bawah Kerajaan Negeri dan bukannya politik dan program itu tidak ada kecenderungan politik penerima itu. Peguam sekali lagi mengesahkan tarikh agihan dibuat dan bertanyakan persetujuan saksi dalam akta PRU, adalah menjadi kesalahan untuk memberikan wang sebelum, semasa dan selepas PRU bagi mempengaruhi pengundi. Saksi kurang bersetuju.

Saksi ditanya lagi, tidakkah beliau merasa berat sebelah dengan parti memerintah ada mempunyai dana-dana itu, tetapi saksi tidak pasti. Peguam pempetisyen membandingkan dana-dana itu dengan BR1M, BL1M dan seumpamanya dibuat dan diberikan kepada semua mereka yang layak.

Saksi ditanya lagi berkenaan kesengajaan PKM membahagikan dana-dana itu pada tarikh kempen kerana mahu membeli undi dan beliau tidak bersetuju. Bagi cadangan peguam pempetisyen mengenai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO sebenarnya tidak membantah tarikh agihan dana iaitu dari 1 Oktober hingga 30 Oktober, hanya saksi yang mengatakan Exco mengubahnya sebelum Parlimen dibubar tanpa disokong apa-apa dokumen, saksi tidak bersetuju.

Saksi menegaskan bahawa mesyuarat telah dijalankan pada 15 September bagi pengubahan jadual agihan. Saksi tidak membawa surat dari SUK bagi menyokong kenyataan beliau mengenai perubahan tarikh agihan, tetapi ada dalam simpanan beliau slaid ketika mesyuarat itu. Lalu peguam mencadangkan bahawa keputusan mesyuarat pada tarikh tersebut tidak dipersetujui oleh SUK, beliau tidak bersetuju. Kemudiannya peguam mencadangkan bahawa TSIS adalah agensi mempromosikan agenda politik bagi Kerajaan Terengganu. Alghazali bersetuju.

Saksi yang hadir dalam Mesyuarat JK Induk Program menjelaskan kepada mahkamah bahawa tiada keputusan mengenai penggunaan sampul duit yang bagaimana yang akan diagihkan dalam program itu. Oleh itu beliau tidak bersetuju dengan peguam yang mencadangkan mesti menggunakan sampul rasmi Kerajaan Negeri. Peguam mengasak saksi dengan bertanyakan kenapa di Seberang Takir, tiada logo BN pada sampul duit? Alghazali menjawab kerana BN bukan kerajaan memerintah. Peguam menyambung, kalau begitu, setujukah PAS dengan cara salah telah menggunakan wang kerajaan. Alghazali tidak bersetuju.

Sesi petang:

Saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam yang menyatakan bahawa ADUN Alur Limbat dan ADUN Bukit Payong adalah ejen kepada responden kerana mereka berdua menduduki jawatan tinggi dalam JK PAS Kawasan Marang.

Mahkamah ditunjukkan video sidang media Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah Bersama timbalannya, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim yang diadakan pada 15 September iaitu tiga minggu sebelum pembubaran Parlimen dan dengan jelas menyatakan tarikh memohon ialah 18 September hingga 6 Oktober 2022 untuk semakan dan kelulusan, sebagai bukti baharu untuk afidafit bahawa tarikh itu dipilih, tiada kaitan dengan PRU yang belum diumumkan. Dalam video itu juga dinyatakan jelas tarikh 30 Oktober hingga 30 November dipilih sebagai tarikh pilihan untuk agihan.

Alghazali yang dilantik menjadi Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial TSIS akan dipanggil semula pada pagi Khamis bagi menyambung soal jawab oleh peguam dan soal jawab pada Khamis itu hanya mengambil masa yang singkat sahaja.

Prosiding akan bersambung pada Ahad 19 Mac dengan responden sendiri iaitu Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, akan dipanggil memberi keterangan. Bermakna responden telah siap mengemukakan ketiga-tiga saksinya dan pempetisyen masih menunggu beberapa orang lagi saksi iaitu tiga ADUN dari Parlimen Marang sebelum penggulungan hujah yang dijangkakan minggu depan akan dilakukan.

MOHD NASIR ABDULLAH
17 Mac 2022 – HARAKAHDAILY 17/3/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -