Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 Parlimen Marang (7)

- Advertisement -

PROSIDING semakin hangat, Exco dan Pegawai Kerajaan Terengganu hadir memberi keterangan

*Mohon maaf kerana catatan ini dikeluarkan lewat sehari, sepatutnya semalam, Selasa 14 Mac dan catatan juga agak panjang kerana sesi pagi dan petang, saya sekalikan.

Catatan perbicaraan petisyen PRU15, P.037, Parlimen Marang, Selasa, 14 Mac 2023:

Prosiding bermula jam 10:44 pagi dengan pihak pempetisyen memaklumkan kepada mahkamah yang mereka belum dapat lagi menyerahkan sepina kepada ADUN Alur Limbat, YB Ariffin Deraman dan ADUN Pengkalan Berangan, YB Ustaz Sulaiman Sulong. Manakala petang ini, ADUN Bukit Payong, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah telah menyatakan komitmen beliau untuk hadir.

Mahkamah memanggil masuk Ahmad Bukhari bin Abdul Rahman, untuk mengangkat sumpah bagi menjadi saksi responden. Beliau ialah Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (PSU) bagi portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan NGO. Selain Ahmad Bukhari, peguam responden juga akan memanggil Pegawai dari Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), sebuah GLC Kerajaan Negeri.

Saksi ditanya adakah membawa ucapan belanjawan dan juga keterangan YB Bazlan Abdul Rahman, saksi pempetisyen sebelum ini. Pada 20/6/22 diserahkan surat i-Belia kepada Bukhari. Dokumen i-Belia itu disediakan sendiri oleh Bukhari yang kemudiannya mengeluarkan surat panggilan mesyuarat dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada 14/9/22.

Pasukan pempetisyen memulakan soal balas:

Ahmad Bukhari menjelaskan beliau memulakan perkhidmatan beliau pada 8/1/14 sebagai Penolong Pegawai Daerah Dungun, bila ditanya oleh peguam. Ahmad bertanggungjawab dengan urusan belia dan tidak setuju cadangan program yang dirancang dari parti politik. Beliau bersetuju dengan semua tarikh-tarikh yang disebut bagi agihan i-Belia itu. 

Bila diajukan soalan berkenaan petisyen itu, beliau mengakui tidak pernah melihatnya sebelum ini. Bukhari juga menjawab beliau tidak tahu untuk apa petisyen ini. Beliau juga bersetuju yang banyak agihan telah dilakukan. Terang beliau lagi, agihan ini TSIS yang ambil alih.

Ahmad Bukhari kemudiannya diminta membaca dokumen terlebih dahulu. Bacaan itu mengambil masa yang agak lama kerana ia setebal 32 muka surat. Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam pempetisyen yang ia adalah intipati untuk enam program rasuah. Beliau mengatakan beliau kurang pasti, memberi selepas atau sebelum, itu adalah dikira rasuah.

Namun beliau bersetuju, program agihan i-Belia itu berlaku dalam waktu kempen PRU15. Walau bagaimanapun, program itu adalah program rasmi Kerajaan Negeri dan mesti menggunakan jata negeri dan bukannya lambang parti politik. Bukhari juga bersetuju yang program ini diuruskan oleh Urusetia Kerajaan. Namun tegas menafikan ia adalah program yang ada agenda politik. Tambah Bukhari lagi penyelarasan program tersebut telah dirancang lebih awal.

Peguam pempetisyen meminta dimainkan video program di Duyung dan bertanyakan Bukhari ia adalah program rasmi kerajaan. Bukhari kurang pasti. Ditanya lagi adakah Presiden PAS yang juga calon Parlimen Marang ketika itu, MB, Exco dan ADUN-ADUN telah menjadikan program itu sebagai wadah politik. Beliau kurang pasti.

Bukhari juga menjawab kurang pasti apabila ditanya adakah beliau bersetuju pada gegantung program, ada logo dan gambar calon dan tiada wakil SUK atas pentas utama program. Tetapi beliau sebaliknya mengiyakan cadangan peguam pempetisyen yang ‘mock cheque’ itu ada logo PAS.

Peguam pempetisyen terus meminta persetujuan Bukhari bahawa ada seramai 2,401 penerima di Alur Limbat dan di FB YB Ariffin, ada kempen undi PAS. Bukhari berkata beliau kurang pasti kerana beliau tidak terlibat dan yang menguruskan agihan ialah JK program tersebut.

Bukhari juga menjawab kurang pasti sama ada program ini untuk kempen memenangkan calon Parlimen Marang. Dan belia sekali lagi mengulangi persetujuan beliau yang semua program ini, berlangsung dalam waktu berkempen PRU15.

Peguam pempetisyen memainkan lagi video. Bukhari diasak kenapa tindakan tatatertib tidak diambil terhadap ADUN Alur Limbat. Bukhari kurang pasti. Bukhari tidak bersetuju, dengan cadangan peguam, berkenaan teks ucapan kerana teks ucapan bukan disediakan pihak beliau. Dan apabila ditanya kenapa perbelanjaan untuk i-Belia mencecah sehingga RM20 juta, sedangkan peruntukan hanya RM4.5 juta, Bukhari menjawab tidak pasti.

Bukhari memaklumkan kepada mahkamah, untuk program i-Belia dan i-Siswa hanya belia dan siswa yang berdaftar di Negeri Terengganu sahaja yang layak menerimanya. Bukhari tidak bersetuju dengan cadangan peguam pempetisyen yang hanya pada November TSIS dimaklumkan wang dana telah ada.

Sesi petang:

Bukhari ditanya berkenaan agihan tugasan dan beliau menerangkan yang tugas beliau ialah menyelaraskan hal berkaitan Pejabat Daerah, pembayaran dibuat oleh TSIS. Manakala Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), membuat kerja pengurusan bersama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).

Secara khususnya, PKM mengelolakan program, jumlah peserta dan menyediakan tempat. Agihan dilakukan secara tunai kepada semua penerima i-Belia dan i-Siswa.

Bukhari menerangkan lagi bahawa peruntukan bagi i-Belia dan i-Siswa ini telah dimasukkan oleh Kerajaan Negeri sebagai Bajet Tambahan dalam Sidang DUN Terengganu pada bulan Julai 2022, (tiga bulan sebelum pembubaran Parlimen).

Kertas cadangan kepada TSIS, telah dikemukakan lebih awal lagi. Akan tetapi, TSIS mempunyai komitmen lain yang melibatkan dana-dana bantuan lain seperti bantuan persekolahan, dana i-Fitri dan sebagainya. Maka cadangan bagi dana remaja ini dikemukakan semula pada bulan Jun 2022.

Peguam pempetisyen menyentuh berkenaan ‘timeline’ PRU yang waktu berkempennya selama dua minggu sehingga 18 November. Dan mencadangkan, surat pengagihan dana itu dikeluarkan pada 8 November ialah satu helah bagi memberikan dana itu sewaktu kempen. Bukhari tidak bersetuju.

Pada 18 September 2022 SUK menerima surat dari Kewangan Negeri yang duit sudah ada. Bukhari menjawab dengan tegas, beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam pempetisyen yang SUK sengaja menahan wang kepada TSIS adalah kerana untuk menyelaraskan waktu program bantuan itu dengan kempen PRU.

Setakat 8 November 2022 surat yang dikeluarkan oleh Bukhari, beliau bersetuju yang jadual program masih lagi pada 28-31 Ogos 2022. Bukhari bersetuju dalam lampiran, yang jadual pengagihan dalam satu surat dikeluarkan, laporan agihan dana mesti dilakukan oleh TSIS bermula 1 hingga 30 November dan laporan itu juga masih tidak disediakan. Tetapi beliau tidak pasti apakah semua itu berkaitan dengan kempen PRU.

Ditanya sama ada adakah dalam pengetahuan beliau yang surat kepada TSIS dari SUK, meminta laporan itu disediakan, beliau kurang pasti. Peguam menunjukkan sampul dana dan bertanya adakah setuju yang sampul itu bukan dari Kerajaan Negeri Bukhari menjawab kurang pasti. Beliau juga tidak tahu bagaimana cara wang itu diagihkan sewaktu program kerana menurut beliau, secara teknikalnya, ia diuruskan oleh TSIS.

Peguam pempetisyen membuat kesimpulan yang perbuatan memberikan dana pada tarikh 14-18 November itu adalah cara meraih undi pengundi berdaftar yang menerima dana-dana tersebut. Bukhari kurang pasti. Namun Bukhari tidak bersetuju dengan cadangan peguam yang mendakwa pengagihan dana-dana itu telah dilakukan oleh YB Ustaz Ariffin Deraman, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan YB Ustaz Sulaiman Sulong dan bukannya SUK.

Kesemua ADUN-ADUN itu bukanlah wakil SUK, menurut peguam pempetisyen serta pemberian dana-dana pada waktu kempen itu adalah perbuatan rasuah yang menyalahi akta PRU, Bukhari kurang pasti. Peguam juga mencadangkan yang penurunan kuasa SUK kepada Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, bagi membuat jadual pengagihan dana adalah bermotifkan politik tetapi kali ini Bukhari tidak bersetuju.

Apabila ditanya sebabnya, Bukhari menerangkan yang banyak jadual dan perancangan yang dilakukan bagi program sebegini sebelum ini menghadapi masalah pertindihan jadual dan juga sumber kewangan yang mungkin lambat. Peguam terus mengasak dengan mengatakan bahawa wang sudah diterima pada 18 September (Parlimen bubar pada 10 Oktober 2022) tetapi mengapa lambat diagihkan. Bukhari menjelaskan jadual pengagihan dibuat oleh TSIS.

Cadangan peguam bahawa TSIS bersubahat dengan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, sengaja memilih tarikh pengagihan bersamaan dengan waktu kempen, ditolak oleh Bukhari. Dan Bukhari kurang pasti sama ada pengagihan dana yang diadakan pada tarikh berkempen itu adalah tarikan untuk mengundi responden.

Bukhari menjelaskan juga bahawa jadual dirancang begitu kerana congakan dengan musim banjir yang biasa berlaku pada akhir November. Berlaku juga kekurangan maklumat penerima dana yang mesti diteliti semula sebelum pengagihan, bagi mengelakkan masalah lain timbul selepas agihan.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah masuk mengangkat sumpah sebagai saksi:

Peguam pempetisyen memulakan soalan dengan bertanyakan berkenaan bantuan i-Belia. Ketika saksi berucap dalam program agihan bantuan i-Belia di Dewan Sivik Bukit Payung, saksi bercakap mengenai apa. Saksi menjawab ia berkenaan polisi kerajaan dan dakwah (bulan penghayatan ibadah solat).

Peguam pempetisyen cuba untuk meyakinkan mahkamah bahawa YB hadir dan membahagikan ‘sampul’, dan bukannya ‘mock cheque’ sahaja. YB Ustaz Mohd Nor, konsisten menjawab dia hanya hadir sebagai perasmi dan serah ‘mock cheque’ yang terpapar i-Bantuan. Manakala, sampul pula, pegawai lain yang bahagi.

Peguam pempetisyen cuba menggunakan gambar itu untuk mengakseskan gambar sebenar di Facebook, dan kemudiannya bertanya adakah YB hadir selaku Timbalan YDP PAS Marang? YB kata ia tiada ada kaitan kerana beliau hadir selaku Exco dan ADUN Bukit Payong.

Peguam pempetisyen juga meminta YB menjelaskan mengenai jadual pembahagian bantuan yang sepatutnya berlaku pada Ogos-Oktober dipinda kepada September-November. Saksi menjawab itu adalah bidang kuasa atau portfolio Exco Belia. Peguam pempetisyen bertanya lagi, kenapa sampul bantuan ada gambar YB dan isteri, sedangkan ia bantuan kerajaan negeri. YB menjelaskan di sampul itu ada logo kerajaan negeri.

Peguam pempetisyen cuba mempersoalkan kenapa ada gambar isteri YB. Saksi menjawab untuk perkenalkan beliau sebagai Exco dan wakil rakyat. Manakala gambar isterinya, kerana dia isteri wakil rakyat. Dan saksi berkata sememangnya dalam program kerajaan negeri, isteri boleh dijemput.

Peguam pempetisyen cuba menceriakan suasana dengan katanya, jadi tak salahlah Najib bawa Rosmah. Saya teringat bossku, kata peguam yang membuatkan hadirin tergelak. Hakim mencelah kalau sudah teringat maknanya sudah boleh tangguh prosiding ini. Sidang mohon ditangguhkan dan disambung esok dengan saksi sama, namun YB Ustaz Mohd Nor berkata esok (Rabu 15 Mac) ada sidang DUN sepanjang hari. Saksi bersetuju untuk hadir semula pada Khamis 16 Mac.

Peguam pempetisyen kemudian mohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada YB Ustaz Ariffin  Deraman dan YB Ustaz Sulaiman Sulong kerana didakwa tidak memberi kerjasama menerima surat sepina sebagai saksi di mahkamah. Peguam responden membantah dan mencadangkan peguam pempetisyen agar menyerahkan sepina di Sidang DUN (Rabu 15 Mac). Ia tidak memadai untuk mengeluarkan waran tangkap.

Perbicaraan akan bersambung esok, Rabu 15 Mac.

MOHD NASIR ABDULLAH
15 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 15/3/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -