Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 Parlimen Marang (5)

RABU 8 Mac 2023 (sesi petang): Catatan perjalanan perbicaraan petisyen PRU15 Parlimen Marang P.037.

Saksi sepina Farhan Darwis, 35, mengangkat sumpah sebagai saksi ke-7. Beliau adalah wartawan bagi portal The Malaysian Insight (TMI), berasal dari Johor. Beliau menjelaskan sepina diterima semalam. Beliau sudah 12 tahun menjadi wartawan dan menyertai TMI semenjak tahun 2020 dan tugas beliau melaporkan berita am dan termasuk juga politik.

Saksi menyatakan beliau tiada maklumat berkenaan hal pemberian wang itu. Beliau tidak melaporkan berita mengenai pembahagian wang bantuan pengundi luar yang dikatakan berlaku di Surau al-Ridhwan, Kampung Tok Hakim, Marang itu. Beliau melaporkan berita berkenaan ucapan responden sebagai Presiden PAS dia dalam satu program PN. Beliau mengesahkan yang berita itu adalah laporan dari dirinya sendiri.

Mengimbau kejadian itu, pada 20 Januari 2023, beliau menerima arahan daripada ibu pejabat untuk mengikuti dan membuat laporan program PN di Ladang Alam Warisan di Negeri Sembilan pada 21 Januari 2023. Beliau ke sana sebagaimana yang telah diarahkan. Saksi merakam dan menyimpan audio rakaman sidang media selepas itu oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Peguam pempetisyen mendapat maklumat yang saksi ada bahan rakaman audio tersebut. Saksi kemudiannya diminta oleh peguam pempetisyen untuk memainkan rakaman itu. Saksi menyatakan kepada mahkamah bahawa beliau sendiri yang merakam audio tersebut.

Saksi memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tidak kenalpun pemilik kepada TMI. Namun saksi menafikan kenyataan bahawa TMI adalah sebuah portal yang suka memutar belitkan laporan berita seperti portal-portal lain terutama terhadap pihak parti politik – parti politik yang ada di Malaysia.

Antara kenyataan yang dipertikaikan termasuk ‘ikut undang-undang SPR, calon dan wakil calon, tak boleh bagi duit. Orang awam nak bagi sedekah, terpulang pada dialah’ yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga sebagai responden.

Saksi diminta menunjukkan berita penuh melalui online oleh peguam pempetisyen, namun ia dibantah oleh peguam responden kerana laporan online itu, tidak disediakan kepada mahkamah sebelum ini. Hakim kemudiannya memutuskan membenarkan bantahan itu.

Peguam responden bertanyakan saksi, kenapakah laporan daripada Berita Harian, Utusan Malaysia dilihat biasa sahaja, tidak seperti laporan TMI. Namun saksi masih bertegas bahawa yang beliau laporkan itulah ucapan oleh responden.

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan kira-kira jam 4 petang. Dan peguam pempetisyen meminta agar kes didengar kembali pada hari Isnin ini.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 9/3/2023

*Rakaman temubual dengan dengan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi PAS Pusat (LUHAM) Wan Rohimi Wan Daud selepas prosiding.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

Advertisement