RASA cemburu serta dendam kesumat DAP terutamanya DAP Sarawak terhadap GPS tidak dapat dibendung dan diselindung lagi. Kelebihan yang pelbagai diberikan oleh Anwar-Zahid kepada GPS sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri sedikit sebanyak telah menggores luka lama yang belum sempat sembuh sejak sekian lamanya.
Ketika membahaskan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen (DAP Sarawak) telah secara terbuka memperlekeh dan menyindir tindakan politik GPS yang datang secara tergesa-gesa ke Kuala Lumpur untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10 pasca PRU ke-15.
Ujar beliau, “nasib baiklah GPS ini bukanlah king maker yang sebenar. Mereka dan Perikatan Nasional masih tidak cukup jumlah. Oleh itu apabila Tambun mempunyai cukup jumlah, barulah mereka beralih sokongan kepada Tambun”.
Ucapan yang penuh dengan sindiran ini telah melukakan hati ahli-ahli parlimen GPS yang lain. Antaranya, Ahli Parlimen Serian. Beliau menyatakan bahawa sindiran ini tidak patut berlaku lebih-lebih lagi apabila ianya datang daripada ahli parlimen DAP yang menjadi sebahagian daripada komponen Kerajaan Madani pada hari ini.
“Ini seolah-olah mempertikai kewibawaan 23 ahli parlimen daripada GPS dan pucuk pimpinan GPS yang dipimpin oleh Premier Of Sarawak,” kata Dato’ Sri Richard Riot anak Jaem, ahli parlimen Serian ketika berbahas tentang Bajet 2023 di Dewan Rakyat.
Pada masa yang sama, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia anak Brodi turut menyatakan kekecewaan beliau kepada tindakan ahli parlimen DAP tersebut ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2023. Kata beliau, “Saya terpanggil untuk menyuarakan kekecewaan saya berkenaan ucapan Ahli Parlimen Stampin semalam yang sengaja memperlekeh GPS secara terbuka di dewan yang mulia ini”.
DAP yang selama ini sentiasa memberikan tekanan tentangan politik dan mencabar kuasa dominasi politik GPS di Sarawak terpaksa mengambil langkah “menggenggam bara api” apabila PH dan BN gagal memenangi kerusi parlimen dengan jumlah majoriti mudah untuk membentuk kerajaan akibat daripada gelombang undi rakyat khususnya anak muda kepada Perikatan Nasional.
Dalam usaha memastikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri ketika itu, DAP terpaksa secara terbuka membuat permohonan maaf atas perbuatan serta kenyataan mereka yang menyinggung perasaan rakyat Sarawak serta perjuangan GPS selama ini.
Ternyata permohonan maaf DAP selama ini hanyalah ‘wayang politik’ semata-mata. Permusuhan GPS dan DAP Sarawak kini membara kerana dendam kesumat politik yang masih tersisa. Keikhlasan permohonan maaf ketika ingin menubuhkan kerajaan pada ketika itu turut dipertikai oleh perlbagai pihak.
Ketika itu juga Mufti Negeri Perlis turut mencadangkan agar DAP turut memohon maaf kepada umat Islam secara terbuka di Malaysia sepertimana DAP memohon maaf kepada GPS pada ketika itu. Namun tiada kedengaran permohonan maaf oleh DAP kepada umat Islam sehingga ke hari ini.
Itulah hipokrasi politik serta tidak ikhlas DAP terhadap hubungan “madani” mereka dengan GPS. Musuh serta dendam ini tidak lagi dapat dibendung atau diselindung ibarat bangkai yang berbau. Keretakan krisis hubungan GPS dan DAP secara tidak langsung akan menimbulkan krisis kepercayaan rakyat serta pelabur asing ke atas kestabilan serta halatuju ekonomi Kerajaan Madani pada hari ini.
Selain itu, dalam perbahasan Ahli Parlimen Stampin (DAP) juga telah mendakwa bahawa sebagai orang Sarawak, mereka tidak mahu, merasa risau serta khuwatir sekiranya PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan. Kenyataan seumpama ini sekali lagi menggambarkan bahawa DAP sentiasa memainkan sentimen perkauman dan agama yang ekstrem.

Ahli Parlimen Stampin seharusnya mengakui bahawa ketika kerajaan yang dianggotai oleh PAS, inisiatif untuk membuka ruang bagi penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak telah berlaku dengan baik.
Bajet 2023 Anwar-Zahid gagal.
Hubungan Politik DAP-GPS gagal.
ARIF PAIJO
AJK PAS Pusat
Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sarawak – HARAKAHDAILY 4/3/2023
Rujukan:
- https://youtu.be/xmOAD1g7BjM
- https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/11/908101/dap-disaran-mohon-maaf-kepada-masyarakat-islam-melayu-juga-mufti-perlis?fbclid=IwAR2n7ecHIElf_iGPSp-sS2KaCW3qN7sYoX4D11VOtS8CYdGwUylGsmVjr_Y
- https://vt.tiktok.com/ZS89wqY75/