Arab Saudi tuan rumah Piala Kelab Dunia 2023

Trofi Piala Kelab Dunia
- Advertisement -

Badan bola sepak dunia, FIFA, mengumumkan pemilihan Arab Saudi sebagai tuan rumah Piala Kelab Dunia 2023 yang akan diadakan pada Disember nanti.

- Advertisement -

Majlis FIFA sebulat suara mengundi Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi untuk mengadakan kejohanan itu yang akan menampilkan enam juara benua serta juara kebangsaan tuan rumah.

Kejohanan itu akan berlangsung mulai 12 hingga 22 Disember.

Awal bulan ini, Arab Saudi dipilih oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2027.

Arab Saudi sebelum ini pernah menjadi tuan rumah beberapa acara sukan, termasuk Piala Super Sepanyol pada tahun ini, pertandingan merebut gelaran dunia 2022 antara Oleksandr Usyk dan Anthony Joshua serta Grand Prix Riyadh.

Mesyuarat Majlis FIFA juga mengesahkan perubahan struktur Piala Kelab Dunia Kelab dengan kelulusan untuk memperluaskan kejohanan ini kepada 32 pasukan mulai 2025.

UEFA (Eropah) akan mendapat 12 tempat dan CONMEBOL (Amerika Selatan) enam, manakala CONCACAF (Amerika Utara, Tengah dan Carribean), CAF (Afrika) dan AFC masing-masing akan mendapat empat, dengan satu tempat untuk OFC (Oceania) dan satu lagi untuk tuan rumah.

Mesyuarat FIFA juga mengesahkan bahawa Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 sebagai tuan rumah bersama kejohanan itu, dengan tempat negara berkenaan ditolak daripada peruntukan keseluruhan CONCACAF sebanyak enam. – REUTERS

- Advertisement -