Dron Korea Utara ceroboh zon larangan terbang Seoul

Dron Korea Utara yang dipamerkan ketika perbarisan ketenteraan negara itu.
- Advertisement -

SEOUL: Sebuah dron Korea Utara memasuki hujung utara zon larangan terbang mengelilingi pejabat Presiden Korea Selatan di bandar raya ini dalam pencerobohan ruang udara Korea Selatan, minggu lalu.

- Advertisement -

Tentera Korea Selatan menyatakan bahawa dron itu adalah antara lima dron Korea Utara yang menyeberangi ke selatan pada 26 Disember lalu.

Ini menyebabkan tentera Korea Selatan mengerahkan jet pejuang dan helikopter penyerang untuk bertindak. Namun, tidak dapat menjatuhkan dron terbabit yang terbang selama berjam-jam.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS), pada mulanya menafikan bahawa sebuah dron menceroboh zon larangan terbang berhampiran pejabat presiden, tetapi hari ini mengesahkan kejadian itu.

Jurucakap JCS berkata, terdapat perubahan dalam analisis pihaknya selepas pemeriksaan kesediaan tentera berhubung pencerobohan terbaharu itu.

Bagaimanapun, tentera berkata pesawat tanpa pemandu itu tidak terbang terus di kawasan Yongsan yang menempatkan pejabat Presiden Yoon Suk-yeol.

Pencerobohan ini mencetuskan kritikan terhadap kesiapsiagaan pertahanan udara Korea Selatan ketika ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin meningkat.

Yoon memberi amaran akan mempertimbangkan untuk menggantung pakatan ketenteraan antara kedua-dua Korea pada 2018 jika Korea Utara mencerobohi lagi ruang udara Korea Selatan. – REUTERS

- Advertisement -