Maghribi tewas, namun menjadi kebanggaan dunia

Walid Regragui bangga dengan pemain Maghribi yang melakukan segala-galanya untuk negara.
- Advertisement -

Maghribi meninggalkan Qatar dengan perasaan kecewa, tetapi penuh bangga kerana telah melakar sejarah sebagai pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

- Advertisement -

Singa Atlas ditewaskan 2-0 oleh Perancis dan akan menentang Croatia untuk tempat ketiga dan keempat, manakala Perancis akan menentang Argentina pada perlawanan akhir.

Jurulatih Maghribi, Walid Regragui berkata: “Kami sedar bahawa Maghribi berjaya melakukan pencapaian hebat. Kami tahu bahawa media, media sosial dan di TV, kami melihat gambar-gambar itu dan melihat bahawa semua orang berbangga dengan kami.

Katanya, pasukannya kecewa kerana mahu mengekalkan impian melangkah lebih jauh di Piala Dunia, tetapi tetap gembira dengan apa yang telah dicapai.

“Baginda (Raja Maghribi) pun berbangga, rakyat Maghribi bangga. Saya fikir dunia secara keseluruhan berbangga dengan pasukan Maghribi kerana kami menunjukkan iltizam yang besar. Kami bekerja keras dan bermain bola sepak yang jujur,” katanya.

“Saya fikir kami telah memberikan imej yang baik terhadap Maghribi dan bola sepak Afrika. Itu juga penting bagi kami kerana kami mewakili negara dan benua kami.”

Maghribi yang melangkah ke separuh akhir dengan rekod pertahanan terbaik, bolos dalam serangan Perancis lima minit selepas permainan.

“Hari ini, penyesalan saya adalah permulaan permainan. Kami bermula dengan agak teruk dan melepaskan satu gol pantas yang memberi kesan terhadap perlawanan.

Walid Regragui bersama pemain Perancis, Antoine Griezmann (kiri) dan Jules Kounde

“Mereka membenarkan kami menguasai bola dengan banyak, tetapi kami melakukan terlalu banyak kesilapan untuk menyukarkan mereka.”

Regragui berpendapat pasukannya bermain lebih baik pada babak kedua dengan mencipta banyak peluang, tetapi malangnya penyudahan tumpul pada penghujung permainan.

“Kami mencuba segala-galanya untuk mendapatkan gol, tetapi tahniah kepada Perancis. Kami akan menyokong mereka sekarang,” katanya.

Maghribi kehilangan pertahanan tengah pilihan pertama, Nayef Aguerd ketika sesi pemanas badan kerana kecederaan, manakala kapten mereka, Romain Saiss meninggalkan padang dengan kecederaan pada separuh masa pertama.

“Walaupun semua kecederaan yang kami alami, keletihan, kami memberikan segalanya dan menimbulkan masalah kepada Perancis,” kata Regragui.

“Tetapi saya fikir secara fizikal, kami gagal. Kami mempunyai terlalu ramai pemain yang 60 atau 70 peratus cergas. Namun mereka telah memberikan segala-galanya dan pergi sejauh yang boleh. Saya benar-benar mahu menulis semula buku sejarah.

“Namun anda tidak boleh memenangi Piala Dunia dengan keajaiban, anda perlu melakukannya melalui kerja keras. Itulah yang kami akan terus lakukan.” – REUTERS

- Advertisement -