Pemimpin mesti cakna kepada rakyat miskin

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 57)

Saidina Umar memperuntukkan sebidang tanah di Az-Zabdah. Beliau mengkhususkan rumput dan tumbuh-tumbuhannya menjadi hak bersama kepada fakir miskin.

- Advertisement -

Umar memerintahkan supaya tidak dibenarkan binatang ternak orang kaya seperti Abdul Rahman bin Auf dan Osman bin Affan mendekati kawasan tersebut. Umar menyebutkan nama kedua-duanya.

Beliau memberikan alasan:
فإنه إن تهلك ماشية الغني يرجع إلى ماله، وإن تهلك ماشية الفقير يأتني متضورا بأولاده يقول يا أميرالمؤمنين… طالباً الذهب والفضة، وليس لي أن أتركه… فبذل العشب من الآن أيسر علىّ من بذل الذهب والفضة يومئذ
‘Sesungguhnya, jika binatang ternak orang kaya mati, dia masih boleh menampungnya dengan hartanya sendiri, tetapi jika binasa binatang ternak orang faqir, dia akan datang kepadaku merengek-rengek dengan anak-anaknya, berkata: ‘Wahai Amir al-Mukminin… sambil meminta emas dan perak.

Aku tak mungkin dapat membiarkannya.

Maka dengan memberikan kawasan rumput sekarang, lebih mudah bagiku dari memberi emas dan perak ketika itu.’

Kita dapat melihat betapa Umar al-Khattab, seorang pemimpin yang bersih, berintegriti sangat mengambil berat rakyatnya yang miskin.

Satu kawasan khas untuk ternakan mereka ialah salah satu cara kerajaan menangani dan mengatasi kemiskinan. Rakyat tidak diberi ikan, tetapi diberi joran. Kerajaan dan pihak berwajib boleh menggunakan semangat dari kaedah ini membantu golongan marhaen.

Di tanahair ini, golongan B40, rakyat marhaen dan mereka yang sempit kehidupannya mesti dibantu dengan cara yang sesuai.

Ada golongan yang boleh dikeluarkan dari kemiskinan dengan diberikan pekerjaan. Ada yang langsung tidak mampu bekerja. Mereka dibantu dalam bentuk yang berbeza.

Apa yang penting, kerajaan mesti cakna dan bertindak membantu golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan melalui pelbagai insentif. Bukan sahaja kerajaan, masyarakat awam juga mesti cakna terhadap golongan miskin ini.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu, NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -