Cabaran gerakan Islam Antarabangsa dan pengajarannya

- Advertisement -

Pendahuluan

GERAKAN Islam yang dimaksudkan di sini ialah gerakan yang mengerakkan umat Islam ke arah kesedaran politik Islam bahawa menjadi tanggungjawab ke atas umat Islam untuk mengembalikan sistem pemerintahan Islam sebagaimana yang ditegakkan oleh generasi awal Islam di zaman Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin.

- Advertisement -

Ia berlaku setelah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah yang merupakan sistem pemerintahan Islam terakhir yang pernah ditegakkan.

Marhalah Gerakan Islam

Di sepanjang sejarah, Gerakan Islam melalui dua marhalah utama :

  1. Marhalah cetusan idea oleh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh.
  2. Terjemahan ke alam nyata melalui penubuhan gerakan Islam di serata dunia khususnya dunia Islam seperti Partai Serikat Islam di Nusantara, Ikhwan Muslimin di Mesir, gerakan al-Nursi di Turki, Jamaat Islami di India dan Pakistan.

Cabaran Gerakan Islam

Cabaran yang berlaku terhadap umat Islam adalah satu sunnah al-tadafu’ yang merupakan sebahagian daripada sunnatullah yang berlaku di sepanjang zaman. Menjadi sunnatullah juga akan wujud kumpulan dan gerakan di kalangan umat Islam yang mendepani cabaran ini.

Cabaran yang paling besar ke atas umat Islam ialah perancangan musuh Islam yang sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah dengan pelbagai perancangan dan gerakan dengan tidak dinafikan cabaran dalaman yang menyebabkan kemunduran umat Islam dari pelbagai segi seperti kejahilan umat Islam terhadap ajaran Islam yang menyeluruh, kelalaian ulama terhadap tanggungjawab mereka sebagai penasihat dan kezaliman pemerintah terhadap rakyat yang wajib dipeliharanya.

Cabaran yang mendepani Gerakan Islam sentiasa berubah dari zaman ke zaman, tujuannya adalah satu namun cara dan pendekatannya sahaja yang berubah.

Tujuan utamanya adalah menjauhkan umat Islam dari petunjuk Allah SWT dengan memecahbelahkan mereka mengikut bangsa, kaum dan mazhab.

Oleh kerana itulah menjadi tanggungjawab terhadap umat Islam supaya sentiasa peka dengan pendekatan-pendekatan baharu musuh Islam agar dan berada dalam petunjuk Allah SWT.

Sekurang-kurangnya terdapat empat cabaran yang dihadapi oleh Gerakan Islam pada hari ini:

Pecah dan perintah

Strategi pecah perintah terhadap umat Islam bukanlah satu fenomena baharu bahkan ia sentiasa diperbaharui dan diulang dari semasa ke semasa setelah kemuncak kejayaan musuh Islam menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 lalu termeterailah perjanjian-perjanjian seperti Syke-Picot, Pangkor dan lain-lain lagi sehingga terbentuknya negara-negara kecil yang mewakili umat Islam mengikut bangsa, kaum dan mazhab.

Bahkan satu bangsa dari kalangan umat Islam dipecahkan kepada beberapa negara seperti bangsa Arab yang mempunyai sekurang-kurangnya 20 buah negara.

Hari ini kuasa Barat terus melaksanakan polisi pecah perintah terhadap Umat Islam di atas nama perang menentang keganasan yang sebenarnya ialah perang untuk mengekang kebangkitan Islam. Strategi untuk memetakan semula Dunia Islam sedang rancak berlaku sama ada di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan lain-lain lagi.

Begitu juga mutakhir ini pelbagai isu yang sengaja diwujudkan untuk mempastikan perpecahan terus berkekalan sesama umat Islam. Isu-isu seperti pertembungan Sunni dan Syiah termasuk juga Salaf dan Khalaf sengaja dibesar-besarkan supaya perbalahan terus hidup dan penyatuan tidak berlaku sesama umat Islam.

Agenda pembaratan

Al-Taghriib atau agenda pembaratan adalah salah satu cabaran semasa yang sentiasa diulang dalam pelbagai bentuk terhadap umat Islam. Perlu ditekankan di sini, bukan semua anasir-anasir Barat yang diimport ke Dunia Islam mesti ditolak, ini kerana Islam mengajar kepada umatnya supaya menerima perkara baik dan bermanfaat daripada sesiapa sahaja berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud:

“Hikmah (kebijaksanaan) itu adalah barang tercicir orang beriman, di mana sahaja didapati dia berhak mengambilnya” (Hadis).

Dalam peperangan al-Ahzab, Rasulullah SAW menerima cadangan Salman Al-Farisi supaya menggali parit sebagai satu taktik perang untuk menyekat musuh yang digunakan oleh orang-orang Parsi dalam peperangan.

Maka di atas dasar ini juga Saidina Umar Al-Khattab mengambil kaedah pengurusan harta negara dari Rom walaupun mereka menganut agama Kristian.

Sekularisma adalah ibu segala kejahatan agenda pembaratan yang dibawa ke Dunia Islam bertujuan membuang jatidiri Islam dari penganutnya dengan cara dan hujjah yang halus. Mengikut Dr Safr Al-Hawali, Sekularisma terbahagi kepada dua bahagian.

Pertama Sekularisma yang memerangi ugama seperti Komunisma dan kedua Sekularisma yang memisahkan cara hidup dengan agama dengan pelbagai teori dan ideologi khususnya mengenai urusan kenegaraan seperti Demokrasi, kemasyarakatan seperti Nasionalisma, ekonomi seperti Sosialisma dan Kapitalisma serta lain-lain lagi sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan negara Barat pada hari ini.

Walaupun pada zahirnya wujud perbezaan antara satu sama lain, namun pada hakikatnya sama iaitu membuang dan memisahkan manusia daripada petunjuk Allah SWT.

Agenda Demokrasi yang ditaja oleh Barat di Dunia Islam umpama air banjir yang bercampur-campur dengan kebaikan dan keburukannya yang hanya boleh dinilai dengan adil oleh ulama-ulama yang ikhlas.

Demokrasi diterima dengan begitu baik sekali di Dunia Islam kerana sebahagian sistem Demokrasi itu selari dengan ajaran Islam bahkan Islam mendahului Barat dalam memperkenalkan konsep-konsep yang diamalkan oleh Demokrasi Barat seperti pemilihan ketua negara berasaskan konsep syura, kebebasan menegur dan menasihati pemerintah dan lain-lain lagi.

Namun apa yang dibimbangi ialah intima’ umat Islam khususnya kumpulan-kumpulan Islam kepada Demokrasi mestilah dalam ruang lingkup siyasah syari’ah yang meletakkan kepentingan agama mengatasi segala-galanya.

Mutakhir ini kepudaran yang melanda kumpulan-kumpulan Islam terhadap prinsip-prinsip Islam menyebabkan kehanyutan mereka dengan Demokrasi Barat sehingga sanggup bersekongkol dengan musuh Islam demi untuk mendapat kuasa semata-mata dengan meletakkan kepentingan Islam di belakang.

Atau terperangkap dengan jerangkap-jerangkap samar musuh sehingga sanggup menjadi ‘terompah-terompah tandas’ menyebarkan fitnah dan menggalakkan permusuhan sesama umat Islam kononnya di atas nama Demokrasi.

Penjajahan istilah

Awal abad ke 20, di zaman kelemahan umat Islam kebanyakan Dunia Islam dijajah dan ditakluk sesama kuasa Barat sehinggalah kemerdekaan dicapai setelah dimeteraikan perjanjian-perjanjian yang berjaya melemahkan Dunia Islam.

Zaman penjajahan Dunia Islam telah berlalu, namun apa yang berlaku sekarang ini ialah zaman penjajahan istilah. Zaman globalisasi yang menjadikan dunia tanpa sempadan melalui alat-alatnya digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk menjajah pemikiran manusia dengan menggunakan media massa. Maka timbullah bermacam-macam istilah negatif terhadap Islam yang sengaja diwujudkan demi untuk menyekat kebangkitannya.

Sebahagian daripada istilah-istilah ini dijadikan peluru-peluru untuk menjauhkan masyarakat bukan Islam terhadap Islam seperti Islamic Terrorism yang melahirkan Islamofobia di negara-negara Barat dan sebahagian lagi digunakan sebagai alat untuk mengelirukan umat Islam kononnya di atas nama Kebebasan Ugama seperti Islam Liberal, Islam Moderate, Islam Plurlisma dan pelbagai istilah lagi.

Normalisasi politik dan budaya sonsang

Normalisasi maksudnya menjadikan sesuatu yang luar biasa, asing dan pelik kepada normal dan biasa. Dalam konteks politik Dunia Islam pada hari ini, hubungan antara negara Islam dan negara haram Israel adalah luar biasa kerana jenayah yang dilakukan oleh Zionis Yahudi iaitu merampas bumi umat Islam Palestin lalu dibina di atasnya negara haram Israel pada tahun 1948.

Namun apa yang berlaku pada hari ini, satu agenda tersusun yang dirangka oleh musuh-musuh Islam bagi menormalkan hubungan negara Islam dengan negara haram Israel. Sehingga hari ini beberapa buah negara Islam khususnya negara-negara Arab telah mengisytiharkan hubungan diplomatik dengan negara haram Israel.

Penubuhan negara haram Israel yang berdiri di atas perampasan bumi Palestin milik umat Islam setelah ianya dibuka oleh Saidina Umar Al-Khattab pada tahun ke 16 Hijrah. Maka di atas dasar ini para ulama menegaskan adalah haram kepada umat Islam merestuinya.

Mengiktiraf negara haram Israel seolah-olah meredhai bumi umat Islam yang telah dirampas. Berpuluh-puluh pandangan ulama telah dikeluarkan mengharamkan umat Islam menyerah, membuat perjanjian damai dan merestui negara haram Israel.

Sebagai rekod seawal 1930 an, iaitu sebelum penubuhan negara haram Israel lagi telah dikeluarkan fatwa ulama mengharamkan umat Islam menyerah bumi mereka kepada penjajah setelah mereka melihat perancangan Zionis dengan bantuan kuasa-kuasa penjajah Barat ketika itu khususnya British untuk merampas bumi Palestin dan diserahkan kepada orang Yahudi.

Muhammad Amin Al-Husainy

Fatwa ini dikeluarkan hasil persidangan ulama Palestin yang diadakan pada bulan Januari 1935 dengan ditandatangani antara lain oleh Syeikh Muhammad Amin Al-Husainy, Mufti Baitulmaqdis.

Pada tahun 1956 pula Universiti Al-Azhar mengeluarkan fatwa yang sama maksudnya sebagai satu penegasan lagi yang ditandatangani antara lain oleh Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Presiden Universiti Al-Azhar.

Rentetan daripada itu, diadakan persidangan Antarabangsa Islam pada tahun 1989 yang dihadiri oleh ulama-ulama semasa mewakili 19 buah negara yang seterusnya mengeluarkan resolusi yang ditandatangani oleh para ulama antaranya Syeikh Muhammad Al-Ghazali, Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Az-Zuhaily, Syeikh Fathi Yakan, Syeikh Al-Khalili, Syeikh Abdullah Azzam dan lain-lain lagi.

Normalisasi budaya songsang pula ialah menjadikan amalan dan budaya yang bercanggah dengan fitrah semulajadi manusia sebagai satu perkara normal dan biasa.

Dalam konteks ini ialah LGBT, sehingga golongan ini diangkat dan disanjung sama ada secara sedar atau tidak, maka mereka dengan megah mendabik dada kerana dibela oleh pihak-pihak di dalam dan luar negara kononnya di atas asas hak asasi manusia. Walhal apa yang mereka lakukan bercanggah dengan tabiat semula jadi manusia.

Tidak salah mendekati mereka dengan tujuan untuk menasihati dan membimbing namun bukan mendorong dan menyokong apatah lagi mengangkat golongan ini sebagai tokoh dan ikon. Perlu diingat, di sana ada perbezaan antara melakukan kemungkaran dan bermegah-megah melakukan kemungkaran.

Bermegah-megah melakukan kemungkaran boleh mengundang bala daripada Allah SWT. Kaum dan umat yang ditimpa bala oleh Allah SWT di zaman dahulu adalah kerana mereka bermegah-megah melakukan kemungkaran. Kaum A’ad, Tsamud, penduduk Sadom dan lain-lain lagi dibinasakan oleh Allah SWT apabila mereka menzahirkan kemungkaran dan bermegah-megah dengannya.

Inilah empat cabaran semasa yang dihadapi oleh umat Islam mutakhir ini yang perlu diberi perhatian. Apa yang lebih penting ialah bagaimanakah cara dan tindakan yang mesti diambil oleh Gerakan Islam dalam menghadapi cabaran-cabaran ini.

Langkah penyelesaian

Dalam mendepani cabaran di atas, Gerakan Islam hendaklah istiqamah dalam melaksanakan tiga agenda penting:

Pertama: Membina peribadi muslim dengan aqidah yang betul, syariat Islam yang menyeluruh dan akhlak yang terpuji.

Kedua: Membina keluarga muslim agar terbentuk masyarakat mithali yang jauh daripada nilai-nilai keji yang meruntuhkan sistem kekeluargaan dalam masyarakat manusia pada hari ini.

Ketiga: Membina negara Islam dengan langkah yang berhikmah seperti tadarruj dalam pelaksanaan syariah dan istiqamah dalam menyampaikan mesej dakwah politik Islam kepada masyarakat samada yang beragama Islam mahupun bukan Islam.

Penutup

Walaupun umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran namun kita yakin bahawa masa depan adalah milik Islam kerana anasir-anasir yang terdapat dalam syariat Islam adalah penyelesaian kepada segala permasalahan yang menimpa umat manusia pada hari ini dan dalam masa yang sama agama dan isme selain daripada Islam jelas gagal untuk menyelesaikannya apatah lagi membawa umat manusia ke arah kebaikan dan kesejahteraan.

Malaysia Sejahtera.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
HARAKAHDAILY 7/10/2022

- Advertisement -