Cinta Rasulullah S.A.W

SEBAGAI Muslim, kita dituntut untuk mencintai Rasulullah S.A.W. Cinta kepada junjungan Rasul tentu bukan hanya sekadar melafazkan kata cinta pada bibir sahaja. Namun, buktikanlah cinta tersebut dengan melaksanakan perintah Rasulullah S.A.W, serta menjauhi segala larangannya.

Antara bukti mencintai Rasulullah S.A.W:

1. Menghayati, menyebar dan memperjuangkan sunnah Rasulullah S.A.W.

Jika kita mengaku mencintai Rasulullah, maka tegakkanlah Sunnahnya. Semakin kita mencintai Sunnah, semakin kita akan berusaha untuk menerapkannya dalam kehidupan kita.

Jika ada sesuatu yang dicontohkan Rasul maka kerjakanlah, namun sebaliknya jika ada sesuatu yang bertentangan dengan Sunnahnya maka tinggalkanlah.

Sunnah Rasul pula mencakup seluruh segmen kehidupan insan. Dari bangun tidur, masuk ke tandas, berpakaian, bekerja, bermasyarakat hinggalah memerintah negara.

2. Mempelajari Sirah Nabawiyah.

Setiap Muslim mesti mempelajari biografi Rasul S.A.W. Ini kerana, jika kita mempelajari perjalanan hidup Rasul maka kita akan mengetahui bagaimana kasih sayang, cinta, dedikasi, ketulusan, karakter mulia, perhatiannya terhadap umat ini. Biar difahami dengan jelas apa yang Rasul S.A.W lakukan untuk menyampaikan Islam ke seluruh dunia.

Bagaimana mungkin, jika kita mengaku mencintai Rasul, namun kita tidak mengetahui biografi dan latar belakang hidupnya?

3. Sering mendoakan Rasul S.A.W.

Jika benar kita mencintai Rasul S.A.W, maka janganlah lupa mendoakannya. Doa untuk Rasul ialah dengan membanyakkan selawat, setiap satu selawat untuk Rasul diganjari pula sepuluh rahmat Allah untuk kita.

Doa untuk Rasul juga dengan memohon agar Allah kurniakan kedudukan yang tinggi dan wasilah kepada Baginda sepertimana kandungan doa sesudah laungan azan dan iqamah. Ganjaran untuk kita ialah jaminan syafaah dari Rasulullah.

Semakin banyak kita kirimkan doa kepada Rasul S.A.W, maka kita akan semakin dekat kepada Baginda di hari kiamat.

4. Menyukai perkara yang Nabi Muhammad sukai dan mencintai orang-orang yang dicintainya.

Cinta kita kepada Rasul S.A.W boleh juga dibuktikan dengan menyukai amalan yang Nabi Muhammad sukai. Contohnya Rasul menyukai anak yatim, fakir miskin, menyantuni tetamu, maka itulah juga sepatutnya menjadi amalan yang kita sukai.

Selain itu, kita juga harus mencintai orang-orang yang dicintai Nabi S.A.W, seperti Saidina Abu Bakar, Umar bin Khattab, Utsman bin Affan, Ali bin Abi Thalib dan seluruh keluarga Nabi S.A.W serta para Sahabat pada umumnya.

5. Mengingati Rasul S.A.W dan ingin bertemu dengannya.

Ketika mencintai seseorang, maka kita sering memikirkan mengenai individu tersebut, sehingga kita berharap untuk bertemu dengannya. Oleh karena itu, semakin kita mencintai Rasulullah S.A.W maka kita merasa rindu untuk bertemu dengannya.

Mengingatinya dengan membaca Sirah Nabawiyah, memperbanyak doa dan membaca selawat untuk beliau, hingga kita berharap kepada Allah S.W.T agar dipertemu dan dikumpulkan bersama dengan Nabi S.A.W di akhirat kelak.

YB SENATOR USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 4/10/2022

Advertisement