Presiden PAS tinjau projek pembinaan pemecah ombak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun melihat kemajuan yang dicapai dalam projek pembinaan struktur pemecah ombak yang dilaksanakan di Sungai Merchang, Marang, pagi tadi.

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar. Sebanyak 26 peratus daripada keseluruhan projek telah berjaya disiapkan,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, projek itu dijangka akan dapat disiapkan pada Disember 2023.

Tambahnya, mengikut taklimat yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu, Hanizan Deraman, setelah pelbagai ujian dibuat, reka bentuk yang telah dipersetujui adalah yang terbaik.

Sebelum ini, ujarnya telah diumumkan bahawa projek berskala besar bagi menangani pemulihan muara sungai dan pengawalan hakisan pantai bernilai keseluruhan RM1.55 bilion diluluskan di negeri Terengganu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang melibatkan kerja pengorekan alur navigasi dari muara Sungai Merchang sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan, lapis lindung dan penyuburan pantai.

“Mudah-mudahan projek ini akan berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat terutamanya nelayan tempatan,” ujarnya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong turut mengiringi Tuan Guru. – HARAKAHDAILY 28/9/2022

- Advertisement -