Kerajaan sedia ambulans laut bantu penduduk Langkawi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

LANGKAWI:
Hospital Sultanah Maliha Langkawi bakal menjadi Hospital Pakar Major apabila projek pembinaan bangunan tambahan siap sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dengan kos keseluruhan RM515.35 juta.

Katanya, projek itu telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) pada 16 Disember 2021 dan tarikh milik tapak adalah pada 20 Januari 2022.

- Advertisement -

“Beberapa kapasiti antaranya katil pesakit akan ditambah antara 220 ke 330 dan jumlah perjawatan kepada 1,903 kakitangan berbanding 557 sedia ada,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Sultanah Maliha hari ini.

Kata beliau pembinaan bangunan baharu meliputi pertambahan kapasiti katil, dewan bedah dan infrastuktur, 40 unit kuaters dan tempat letak kereta bertingkat.

Selain itu linked bridge, bangunan mekanikal dan elektrikal termasuk naik taraf sewerage treatment plant (STP), pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan serta peralatan ICT.

Khairy juga berkata, terdapat dua lagi projek hospital di Kedah iaitu Hospital Pendang dan bangunan tambahan Hospital Baling.

“Pembinaan Hospital Pendang dijangka siap pada Oktober ini akan beroperasi dengan kapasiti 126 katil melibatkan kos sebanyak RM222.2 juta.

“Manakala bangunan tambahan Hospital Baling dengan kos RM109.7 juta akan dilengkapi dengan 64 katil dijangka siap awal tahun depan,” kata beliau.

Pada 2 September lalu Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri mengumumkan kerajaan akan membina Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) di Sungai Petani di bawah peruntukan RP4 RMK-12.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju meluluskan penubuhan Pediatric High Dependency Unit (PHDU) di Hospital Sultanah Maliha melibatkan kos hampir RM1 juta.

“PHDU itu bertujuan memberi rawatan kepada pesakit pediatrik yang memerlukan rawatan intensif.

“Terdapat empat komponen PHDU iaitu empat unit Peadiatric Intensive Bed, empat unit Ventilator, Emergency Trolley (seunit) dan Defibrillator Machine (seunit).

“KKM juga meluluskan pertambahan peralatan di wad Special Care Nursery (SCN)/Neonatal Intensive Care Unit (NICU) bagi Hospital Sultanah Maliha, merangkumi 10 unit phototherapy dan dua unit incubator,” jelasnya.

Selain itu cadangan mewujudkan perkhidmatan sea ambulance bagi keperluan penduduk pulau sekitar Langkawi dan pembinaan Klinik Kesihatan Pulau Tuba.

Menurutnya perjanjian persefahaman akan ditandatangani dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat mewujudkan perkhidmatan helikopter untuk keperluan rawatan kecemasan antara Langkawi dan tanah besar. – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -