Bantah pengampunan Najib jauh lebih besar

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

TITAH
Yang di-Pertuan Agong pada Isnin lepas diterima terbuka rakyat. Malah sudah lama rakyat menunggu kondisi seperti itu. Apabila ia dititah tuanku tiada pihak yang mampu mempertikaikannya.

Menurut baginda ketegasan prinsip keadilan Islam tidak membenarkan sebarang ketidakadilan kepada sesiapa juga.

“Keadilan Islam tidak sama sekali memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan,” titah Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Menurut baginda ia melibatkan diri sendiri, teman rapat, kaum keluarga mahu pun ibu dan bapa. Mengapa titah itu tiba-tiba mendapat perhatian segera.

- Advertisement -

Ada akhbar mengenakan tajuk ‘kuasa mengampun tidak boleh sewenang-wenangnya’. Ia secara tidak langsung menjawab isu yang berputar seminggu dua ini.

Sedangkan sebelum ini ada pihak mendesak kerajaan mendapat pengampunan diraja. Nah jawapan seperti terhidang sekarang. tidak boleh hendak kata apa lagi.

Selepas bekas perdana menteri dikenakan hukuman penjara, tiba-tiba isu pengampunan muncul. Sedangkan sebelum itu mahkamah memutuskan Najib bersalah.

Ahli parlimen Pekan itu dikena hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Hukuman itu sebenarnya diputus mahkamah tinggi pada Julai 2020.

Ini bermakna kes tersebut sudah diketahui umum lebih dua tahun lalu. Biarpun Najib sudah didapati bersalah, dia masuk bebas bergerak.

Malah pada kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka November tahun lepas Najib juga berkempen. Begitu pada PRN Johor Mac lepas, kelibat Najib juga kelihatan.

Maka tidak hairanlah ada pemimpin kata ‘banduan’ bebas bergerak. Pada Oktober tahun lepas Mahathir mempersoalkan situasi yang membenarkan Najib seolah-olah bebas ke sana ke mari.

Katanya seperti dilapor media, Najib biarpun didapati bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram, namun masih bebas bergerak.

Ia sebenarnya tidak pelik sangat. Bagi mereka yang ada wang boleh kemuka rayuan sehingga ke mahkamah terakhir. Namun situasi itu tidak mampu dilakukan orang kampung.

Apabila mahkamah tinggi sabitkan kesalahan, maknanya pesalah kena akur. Namun tidak bagi kes pembesar negara. Dua tahun masih bebas bergerak biarpun sudah disabit kesalahan.

Tiada lagi mahkamah tertinggi untuk membela nasib Najib. Hanya pengampunan sahaja yang tinggal. Umno bersungguh benar mahu Najib diampun.
Malah khabarnya ada desakan Umno terhadap kerajaan supaya memohon pengampunan diraja.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilapor menyebut parti itu akan mengemukakan petisyen bagi memohon pengampunan diraja untuk membebaskan Tok Najib.

Pemimpin terbabit disabit kesalahan berhubung penyelewengan dana SRC International.

Singkir pemimpin muda

Ketika satu pihak mendesak pengampunan terhadap Najib, pihak lain pula sedang membina legasi. Umno nampaknya menerus agenda menyingkir pemimpin masa hadapan.

Agenda mengenepikan ahli parlimen Rembau Khairy digerakkan. Ada akhbar digunakan untuk menyokong Muhamad Hassan tanding di kerusi tersebut.
Nampaknya bagi mengekalkan momentum Najib, gerakan menyingkir pemimpin pelapis digerak.

Kata saintis politik Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid, ia memperlihatkan permusuhan terpendam dalaman Umno. Ia tidak dapat ditolak menandakan hubungan tegang dalam Umno sekarang.

“Umno tidak harus menyalahkan orang lain jika orang ramai membuat spekulasi mengenai permainan dalaman yang berlaku sekarang,” katanya.

Sedangkan bagi Prof Ahmad Fauzi, Khairy mewakili masa depan Umno. Agenda itu dipersembahkan sebuah media.

Lalu ditemubual beberapa pengundi di Rembau yang mahu Tok Mat tanding di Rembau. Oghe Kito agak ia seperti ada agenda setting.

Diheboh ke merata tempat untuk Tok Mat mengambil tempat kepimpinan Umno pada masa hadapan. Ini kerana Zahid berada dalam suasana geting sekarang.

Kes mahkamah merencatkan segala perancangan. Maka pilihan terbuka luas buat Tok Mat. Namun, ia tidak semudah itu.
Berdasar risik-risik, kumpulan yang dekat dengan Najib akan berdepan laluan sukar. Buktinya banyak. Tengok sahaja petisyen mahu mengampun Tok Najib dan kumpulan yang membantah.

Selasa minggu lepas dilaporkan 31,000 sokong Tok Najib diampun. Namun 120,000 orang membantah. Nampaknya usaha Umno akan menemui jalan buntu.

Najib seumpama sudah jatuh ditimpa tangga. Sultan Selangor dilapor menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor. Pembatalan itu berkuat kuasa hari ini. – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -