Kerja wajib ahli PAS lakukan untuk menang PRU15

- Advertisement -

ALOR SETAR: PAS menerusi seluruh jentera pilihan rayanya mesti memberi fokus kepada lima kerja utama ke arah memenangi PRU15, demikian nyata Perwakilan Terengganu, Ustaz Kamaruzaman Abdullah. 

Pertama katanya, mesti membina kekuatan organisasi daripada peringkat Pusat, Negeri, Kawasan, DUN dan UDM di mana jika ia dilaksanakan tiada masalah akan dihadapi untuk memasuki pilihan raya. 

“Yang keduanya ialah pasukan kempen yang berfasa dengan cepat dan teliti, pasukan kempen yang mencari pengundi sasar. Setiap program yang kita lakukan mesti ada data dan perlu mengenal pasti orang yang datang ke program tersebut,” ujarnya. 

Beliau membahas Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Kompleks PAS Kedah, di sini sebentar tadi. 

Serunya, perhatian ke UDM mesti tidak diabaikan di mana sering kali berlaku keadaan di mana kekurangan petugas melibatkan lokasi yang mempunyai tiga kampung atau dua perumahan itu. 

Beliau turut mengingatkan mengenai gerak kerja daftar pemilih yang perlu dilihat kritikal di mana memerlukan gerak gempur, diikuti melakukan penculaan di mana akan memudahkan gerak kerja lainnya. 

Ustaz Kamaruzaman juga menyentuh mengenai calon boleh menang dan mestilah juga ditangani berleluasanya tindakan pembunuhan karakteristik yang perlu diwaspadai. 

“Ini masalah yang berlaku, kenapa Nabi S.A.W dibunuh imej dia dengan begitu hebat di Makkah? Seorang tukang sihir tukang acum, (dakwa Nabi) orang gila. Bukan hanya sekadar nak bunuh imej Nabi, tetapi nak bunuh risalah Islam,” kesalinya. 

Nasihatnya, ahli-ahli PAS juga perlu menjauhi perkara seumpama dengan bercakap buruk mengenai pimpinan di kedai kopi dan seumpamanya untuk mengelak memberi persepsi tidak baik. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -