Pentadbiran PAS lebih baik dari 60 tahun BN, 22 bulan PH

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemerintahan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah membuktikan bukan sahaja mampu menyelesaikan masalah, tetapi juga memberikan keprihatinan terhadap rakyat. 

Perwakilan PAS Kedah, Ustaz Mohamad Helmi Abd Hamid berkata, ia menunjukkan parti Islam ini mentadbir lebih baik daripada 60 tahun Barisan Nasional dan 22 bulan Pakatan Harapan. 

“Alhamdulillah, keprihatinan ini menjadi tonggak pemerintahan untuk membentuk kerajaan sejahtera ini. Dalam membentuk sebuah kerajaan, Kedahlah merupakan contoh sebagai panduan untuk memerintah Malaysia dalam masyarakat majmuk. 

“Ini kerana komposisi kaum negeri Kedah adalah sama komposisi kaumnya dengan Malaysia. Sekiranya kita bercita-cita untuk memerntah Malaysia Sejahtera, Kedahlah yang terbaik sebagai contoh ataupun panduan asas dalam memerintah. 

“Kerana Kedah telah berjaya memerintah di dalam pentadbiran tiga parti, PAS, BERSATU dan juga Barisan Nasional dengan komposisi kaum seperti Malaysia,” ujarnya membahas Ucapan Dasar Presiden PAS di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-68 di Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini. 

Menurut beliau, Kedah mencapai pelaburan tahun lepas RM68.3 bilion dan suku kedua ini telah mencapai RM20 bilion serta telah diakui oleh Perdana Menteri sendiri bahawa pencapaian ini adalah yang terbaik bagi seluruh negeri dalam malaysia. 

Tegas beliau, pencapaian ini bukan semat-mata untuk negeri Kedah, tetapi pencapaian bersama PAS diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan didukung PAS Negeri Kedah. 

Seluruh ahli PAS serunya perlu melihat pencapaian itu sebagai peluang untuk disebarkan kepada masyarakat Malaysia umumnya dan bukan semata-mata negeri Kedah. 

“Tuan Guru Presiden seringkali melahirkan cita-citanya untuk melihat teknokrat-teknokrat yang bertakwa mentadbir dan membawa memacu pentadbiran Malaysia, insya-Allah Kedah dengan tawaran pekerjaan yang luas dalam bidang profesional. 

“Ini merupakan satu peluang kepada PAS untuk memikirkan secara keseluruhannya bagi kita menyediakan teknokrat-teknokrat-teknokrat yang akan mengisi peluang pekerjaan di dalam negeri Kedah,” ujarnya. 

Beliau percaya selain mengekalkan tiga negeri itu selepas PRU15, PAS akan dapat menjadikan Perlis dan Pahang milik parti ini. – HARAKAHDAILY 3/9/2022

- Advertisement -
- Advertisement -